Tabah tepis stigma isteri penagih dadah
SUNGAI SIPUT - Memegang status isteri kepada seorang penagih dadah selama dua dekad menjadi bebanan yang cukup berat untuk digalas.
Nor (bukan nama sebenar), 44, berkata, meskipun suaminya meninggal dunia tahun lalu, dia bersama dua anaknya berusia 16 dan 18 tahun masih menerima tempias berhadapan stigma masyarakat.
"Menjadi suatu tekanan emosi apabila orang sekeliling menyisihkan kami hinggakan ada yang tidak mahu mendekati kerana bimbang dijangkiti HIV disebabkan arwah suami penagih tegar.
"Mereka beranggapan kami terjebak sama aktiviti itu malah anak-anak juga menerima ejekan sedangkan kami merupakan mangsa keadaan.
"Sebagai ibu saya selalu mengingatkan anak-anak untuk terus kuat," katanya kepada Sinar Harian.
Wanita itu yang bekerja sebagai tukang cuci turut mengakui kewangan terhad menjadikan dia perlu terus bekerja bagi menampung kehidupan dengan menyewa belakang kedai di Felda Lasah di sini.
"Dengan gaji bersih sebanyak RM1,300, ia tidak cukup untuk kami tiga beranak kerana perlu membayar sewa rumah, bil elektrik tinggi kerana mengikut tarif kedai.
"Harga barangan asas seperti beras pun naik, ada kalanya kami akan terputus bekalan makanan.
"Hidangan sebiji telur itu sudah cukup bersyukur dan kami makan apa yang ada sahaja," katanya.
Pengalaman diherdik ketika meminta bantuan menbuatkan Nor berputus asa untuk memanjat tangga jabatan kerajaan bagi memohon bantuan.
"Beberapa kali permohonan dibuat, saya dimarah pula kerana salah isi borang. Apabila diminta tunjuk ajar tidak dilayan.
"Pelbagai usaha dilakukan termasuk memohon bantuan baiki bumbung rumah bocor tetapi tiada satu pun diterima setakat ini," katanya.
Dia yang berasal dari Manjoi berpandangan bahawa hanya dengan pendidikan, mereka dapat keluar daripada kelompok kemiskinan.
"Sekiranya ada yang menghulurkan bantuan, saya mengharapkan bantuan pendidikan supaya anak-anak dapat belajar tinggi.
"Melihat kesengsaraan suami yang tegar menghisap dadah, saya selalu nasihatkan anak-anak untuk tidak sesekali terjebak dan sokongan masyarakat penting untuk bantu keluarga seperti kami ini mengharungi cabaran kehidupan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!