Tunggang ATV keliling sawah

Pengunjung mencipta memori indah menunggang ATV di kawasan sawah padi.
Pengunjung mencipta memori indah menunggang ATV di kawasan sawah padi.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) ternyata meninggalkan kenangan terindah.

Aktiviti itu lebih mengujakan apabila dikelilingi pemandangan sawah padi yang sayup mata memandang di samping hembusan angin sepoi-sepoi bahasa cukup mendamaikan.

Bagi mereka yang berminat merasai sendiri cabaran menunggang kenderaan lasak ini, anda boleh singgah ke ATV Kunci Air Buang (KAB) di Blok L, Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini yang kini menjadi tarikan eko-pelancongan di kawasan berkenaan.

Pengusahanya, Mohd Norhafizan Jamalludin, 38, berkata, sebanyak 40 ATV disediakan untuk pengunjung merasai sendiri laluan litar seluas 1.2 hektar mengelilingi sawah padi.

Pemandangan dari atas ATV KAB yang mempunyai 20 lencongan untuk dilalui penunggang.
Pemandangan dari atas ATV KAB yang mempunyai 20 lencongan untuk dilalui penunggang.

“Konsep kami pengunjung boleh menunggang ATV secara santai sambil melihat pemandangan mengasyikkan sawah padi.

“Litar ATV dalam sawah padi seperti ini saya kira yang pertama di Malaysia dan biasanya kenderaan empat roda ini ditunggang di laluan berbukit, hutan, anak sungai atau di tepi pantai, tetapi kita ingin menonjolkan sedikit kelainan di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Norhafizan memberitahu, pakej disediakan itu mampu memberikan kepuasan kepada pengunjung terutama bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

“Kelebihan litar sawah ini, kami sediakan menara tinjau untuk pengunjung merakam gambar dari bahagian atas untuk melihat pemandangan keseluruhan trek ini,” tambah bapa kepada empat anak itu.

Menurut Mohd Norhafizan, terdapat 20 lencongan disediakan di litar itu yang tentunya memberikan cabaran tersendiri terutama kepada mereka yang kali pertama menunggang ATV.

“Laluan ini tidaklah terlalu mencabar tetapi bagi mereka yang kurang mahir mengimbangi badan terutama membelok selekoh, mungkin boleh terbabas ke kiri atau ke kanan sawah,” ujarnya.

Bagaimanapun, pihaknya amat menitikberatkan soal keselamatan penunggang dan mereka perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pakaian bersesuaian termasuk topi keledar dan kasut.

“Di sini, kita ada dua jenis ATV berkapasiti 130CC yang menggunakan gear manual dan 200CC bagi gear automatik dengan setiap unit kenderaan terbabit bernilai antara RM5,000 hingga RM8,000.

“Kadar sewa juga berbeza iaitu bagi ATV 130CC RM50 dan ATV 200CC pula RM60 untuk setengah jam pemanduan,” jelasnya.

Mohd Norhafizan bersama dua anaknya bergambar di ATV KAB.
Mohd Norhafizan bersama dua anaknya bergambar di ATV KAB.

Tambah Mohd Norhafizan, pada awal pembabitan dalam sukan permotoran lasak itu kira-kira dua tahun lalu, dia hanya menggunakan jalan tar di kawasan kampung.

“Mulanya kita beroperasi mengelilingi kampung sekitar lima hingga enam kilometer, namun kita memikirkan risiko jika berlakunya kemalangan termasuk terbabas ke dalam parit.

“Bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini, saya mengambil keputusan menyediakan litar dalam sawah secara berpusat bagi keselamatan pengunjung,” katanya.

Ternyata keputusan Mohd Norhafizan itu tepat apabila litar sawah hasil ideanya itu kini mampu meraih kedatangan pengunjung luar biasa terutama pada cuti persekolahan dan hujung minggu.

“Kita juga pernah menerima pelancong luar antaranya dari Afrika Selatan, Pakistan dan Arab Saudi,” jelas beliau.

Selain menyediakan perkhidmatan ATV, Mohd Norhafizan juga mempunyai kenderaan lain bagi menarik pelancong di kampung berkenaan.

“Antaranya seperti trem pengangkutan, tuk-tuk, basikal air dan sampan untuk menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam,” katanya.

Berbekalkan matlamat bukan meraih keuntungan semata-mata, Mohd Norhafizan memberitahu, niatnya ikhlas untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan sekitar selain membantu ekonomi penduduk setempat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!