Polis Perlis pantau penjualan mercun, periksa stor penyimpanan

Polis Perlis akan membuat pemantauan terhadap penjualan mercun pada Ramadan ini, termasuk pemeriksaan di stor penyimpanan mercun yang memiliki permit. - Gambar hiasan
Polis Perlis akan membuat pemantauan terhadap penjualan mercun pada Ramadan ini, termasuk pemeriksaan di stor penyimpanan mercun yang memiliki permit. - Gambar hiasan
A
A
A

PADANG BESAR - Polis Perlis akan membuat pemantauan terhadap penjualan mercun pada Ramadan ini, termasuk pemeriksaan di stor penyimpanan mercun yang memiliki permit, dalam usaha memastikan ia tidak memudaratkan keselamatan orang ramai.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemantauan dan semakan itu bagi memastikan kaedah penyimpanan mercun tersebut mematuhi peraturan ditetapkan, iaitu antaranya disimpan di kawasan selamat.

"(Kalau didapati mercun itu disimpan di kawasan tidak selamat) yang itu kita kena bergantung tengok, mungkin kita akan batalkan permit, dan kita mahu pastikan mereka (penjual mercun) mematuhi peraturan.

"Kaedah penyimpanan (mercun) ada syarat-syaratnya, ada borang khas, antaranya (disimpan) di kawasan selamat, jauh tidak melibatkan masyarakat setempat,” katanya selepas Program Madani Ihya Ramadan Bilateral Malaysia-Thailand Peringkat Negeri Perlis 2024, di Masjid Ahmad di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Izizam Ibrahim, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis Arif Helmi Junid dan Ketua Penolong Pengarah (Keselamatan) Seksyen Keselamatan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand Lt Kolonel Mohamad Noh Abdul Kader.

Muhammad berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada tangkapan berkaitan kes mercun pada minggu pertama Ramadan ini dan pihaknya masih menerima permohonan permit untuk penjualan mercun itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!