[VIDEO] 'Pulanglah Dila, mak rindu'
KUALA TERENGGANU - Biarpun sudah lima bulan hilang tanpa sebarang khabar berita, seorang ibu masih berharap anak perempuannya yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Zaiton Mamat, 51, berkata, kerinduan terhadap Nur Aini Adila Mohd Zamri, 20 atau lebih mesra digelar Dila semakin memuncak lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan dan menjelang ketibaan Syawal.
"Bila masuk Ramadan ini kerinduan terhadap dia makin terasa. Sebab biasanya dia akan berpuasa bersama dan sering mengajak keluar ke bazar Ramadan untuk beli juadah kegemaran dia.
"Bila hari raya pula saya mesti sediakan dua tiga pasang baju raya untuk dia. Tahun ni, walaupun dia tiada saya tetap sediakan sepasang baju raya untuk dia," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini pada petang Selasa.
Menurut Zaiton, anak bongsu daripada lima beradik itu menghilangkan diri selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Ladang Sehat, di sini sejak 7 Oktober tahun lalu.
"Hari dia hilang tu kebetulan pintu rumah tak kunci dan saya ke bilik air untuk ambil air sembahyang. Kemudian saya terdengar macam dia buka pintu. Siap ambil air sembahyang tu saya tanya dekat cucu, dia cakap Mok Su (gelaran untuk Dila) lari keluar rumah.
"Hari itu kali terakhir saya jumpa dia. Waktu keluar rumah sekitar jam 1 tengah hari hingga 2 petang tu dia pakai kemeja T kelabu lengan panjang berbelang serta seluar berwarna hitam," ujarnya.
Zaiton memberitahu, dia bersama suami Mohd Zamri Zakaria, 55 telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 11 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada sebarang perkembangan positif mengenai anaknya itu malah usaha pencarian dilakukan oleh pihak berkuasa turut menemui jalan buntu.
"Sampai ke sudah saya tak dapat apa-apa khabar berita dia. Sudah beberapa kali kakak dan abang dia muat naik status pencarian di media sosial tetapi tak ada sebarang maklumat diterima.
"Anak saya ni merupakan pemegang kad OKU (intelektual). Walaupun luaran dia nampak macam dah besar tapi tahap pemikiran dia seperti kanak-kanak usia 9 tahun. Itulah yang membimbangkan kami sekeluarga," ujarnya.
Zaiton dan Mohd Zamri yang bekerja sebagai peniaga berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anaknya itu termasuk menggunakan khidmat golongan ilmuan agama namun masih belum membuahkan hasil.
"Naluri sebagai ibu saya kuat mengatakan dia masih ada. Masih hidup. Sekiranya dia tinggal dengan sesiapa atau ada sesiapa yang terjumpa dia di mana-mana, saya merayu agar hantar dia ke balai polis berdekatan atau hubungi kami," katanya.
Bercerita lanjut, Zaiton memberitahu, ini bukan kali pertama anaknya hilang dari rumah malah sebelum ini Nur Aini Adila kerap lari daripada rumah.
"Dia seolah-olah tidak suka tinggal di rumah dan sering mengajak kami keluar. Sebab itulah kami akan pastikan rumah berkunci rapat sebab tak nak dia lari. Dua tahun lepas dia pernah hilang selama beberapa hari dan ditemui di Dungun.
"Paling lama hilang lima hari, kami puas cari dan jumpa di tepi jalan di Kampung Banggol Peradong, Manir. Masa tu dia hilang dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jalan Pusara di sini.
"Pernah juga dia hilang dan kami jumpa dia menumpang di rumah orang yang tidak dikenali. Mujurlah wanita tersebut menjaganya dengan baik," kata Zaiton.
Jelas Zaiton, anaknya yang pernah diserang demam panas ketika berusia 4 tahun itu menunjukkan sikap mahu lari dari rumah sejak berusia 17 tahun.
"Kalau ikutkan selama ini pelbagai cara kami lakukan untuk rawat dia sama ada menggunakan kaedah moden dan tradisional.
"Dia petah bercakap. Manja sangat dengan saya. Sudah tentu sebagai ibu saya amat terasa kehilangannya. Doa saya tidak pernah putus, solat hajat dan doa saya sentiasa mengiringinya.
"Pada bulan yang penuh berkat ini, saya tidak putus berdoa, buat solat hajat agar dia ditemui dan pulang ke pangkuan keluarga," katanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai Nur Aini Adila boleh hubungi Zaiton di talian 016-9131631 atau 013- 7029946 atau ke balai polis berdekatan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!