[VIDEO] Wanita 'buat kecoh' di masjid diarah jalani pemeriksaan mental
GEORGE TOWN - Seorang wanita warga emas diarahkan untuk menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan sebelum didakwa atas pertuduhan kata-kata kurang sopan terhadap imam dan bilal masjid.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan arahan itu terhadap tertuduh Sofiah Abdul Majid, 65, di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Rabu.
Nadratun berkata, tertuduh didapati kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di hospital bahagia selama sebulan.
"Berdasarkan pemerhatian, mahkamah mendapati OKT (orang kena tuduh) kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di hospital bahagia selama sebulan sebelum prosiding pendakwaan dimulakan.
"Tertuduh akan kembali ke mahkamah pada 19 April dengan laporan psikiatri," katanya.
Arahan itu dibuat berikutan ketika pertuduhan, tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tidak menjawab soalan sama ada dia faham kandungan pertuduhan atau tidak, sebaliknya mengatakan semua isi kandungan pertuduhan adalah tidak benar.
"Bagaimana saya nak mengaku (pertuduhan dibaca) betul? Semua itu salah. Itu adalah perkataan orang lain.
"Semua yang dibaca itu tipu, saya tidak setuju dengan penipuan," katanya.
Mengikut pertuduhan, Sofiah didakwa telah membuat satu penyataan zahir bahawa imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi Pulau Pinang membaca al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu Cina atau Hindu.
Dia dituduh berbuat demikian dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Jamek Ar-Rahman pada jam 10 malam, 12 Mac lalu.
Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes ditangguh sehingga 19 April ini untuk menunggu laporan psikiatri.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan wanita yang didakwa memasuki Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi dan bertindak melakukan provokasi terhadap jemaah seperti tular di media sosial dilaporkan mengalami masalah mental.
Wanita itu direman selama empat hari ketika hadir ke balai polis berhampiran bersama ahli keluarganya selepas pihak masjid telah membuat laporan polis terhadapnya.
Kejadian yang berlaku pada 12 Mac lalu didakwa bukan insiden kali pertama sebaliknya wanita warga emas terbabit pernah beberapa kali melakukan tindakan sama kerana tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara masjid yang bising.
Pengerusi Kariah Jamek Ar-Rahman, Ismail Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila wanita berkenaan masuk ke dalam masjid tanpa menutup aurat dan bertanyakan kepada jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam yang didakwa terlalu kuat hingga mengganggu kejiranan.
Katanya, wanita itu kemudian melontarkan soalan berbaur provokasi selain menggunakan perkataan kurang sopan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!