Malaysia dijangka catat KDNK 4-5 peratus pada 2024 - BNM
EKONOMI Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan peningkatan permintaan luaran, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi & Monetari 2023 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan tambahan daripada jangkaan pemulihan dalam eksport.
"Pelancongan dijangka terus bertambah baik manakala pelaksanaan projek berbilang tahun yang baharu dan sedia ada oleh sektor swasta dan awam akan menyokong aktiviti pelaburan.
"Bagaimanapun, pertumbuhan dalam negeri masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri,” menurut bank pusat itu.
BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan mendorong kepada lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang lebih tinggi antara 1.8 peratus dan 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 -- suatu peningkatan berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada 2023.
Tahun lepas, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.7 peratus disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih, meskipun dalam persekitaran luaran yang mencabar.
Permintaan Dalam Negeri Kekal Pemacu Utama
BNM menjangkakan permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada 2024, dengan perbelanjaan isi rumah diunjurkan akan berkembang pada kadar yang lebih pantas sebanyak 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2023 disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin baik berikutan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi dan bantuan bersasar oleh kerajaan.
"Hal ini sebahagiannya dapat mengurangkan kesan kos sara hidup yang lebih tinggi, pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah serta kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan terhadap perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Pelaburan swasta dijangka bertambah baik sebanyak 6.1 peratus pada 2024 berbanding 4.6 peratus pada 2023, disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta usaha berterusan dalam automasi dan pendigitalan dalam keadaan kapasiti yang terus mengembang, menurut BNM.
Sementara kadar pengangguran diunjurkan berkurangan kepada 3.3 peratus, pertumbuhan guna tenaga dijangka terus berkembang, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap pekerja, katanya.
Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini, berikutan tekanan kos yang terkawal susulan keadaan bekalan global yang bertambah baik.
Pengembangan Dalam Kebanyakan Sektor Ekonomi
Kebanyakan sektor diunjurkan berkembang pada 2024, dengan sektor perkhidmatan dan perkilangan akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan keseluruhan.
BNM mengunjurkan sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.5 peratus pada tahun ini berbanding 5.3 peratus pada 2023, didorong terutamanya oleh peningkatan dalam subsektor berkaitan perniagaan.
"Pemulihan dalam permintaan luaran dan pelaksanaan projek pembinaan swasta serta awam yang berterusan akan menyokong subsektor harta tanah dan perkhidmatan perniagaan serta subsektor pengangkutan dan penyimpanan
"Selain itu, pelancaran liputan rangkaian 5G yang lebih luas dan peningkatan langganannya akan memacu pertumbuhan dalam subsektor maklumat dan komunikasi,” katanya.
BNM berkata sektor perkilangan dijangka berkembang sebanyak 3.5 peratus pada 2024 daripada 0.7 peratus pada 2023, disokong oleh pemulihan dalam industri berorientasikan eksport dan pertumbuhan berterusan dalam kelompok berorientasikan dalam negeri.
Sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus pada tahun ini, perlombongan dan pengkuarian (3.5 peratus), namun pertanian dijangka menguncup sebanyak 0.5 peratus kerana keadaan cuaca kering yang dikaitkan dengan El Nino dan kesan kurang pembajaan pada tahun-tahun terdahulu akan menyebabkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah.
Landskap Pelaburan Yang Rancak
BNM mengunjurkan pelaburan swasta dijangka bertambah baik kepada 6.1 peratus pada tahun ini berbanding 4.6 peratus pada tahun lepas, disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta usaha berterusan dalam automasi dan pendigitalan dalam keadaan kapasiti yang terus mengembang.
Pelaburan awam yang berterusan dalam projek pengangkutan dan infrastruktur digital berskala besar juga akan menyokong pertumbuhan, di samping usaha pembaharuan berterusan oleh kerajaan untuk mempertingkat ekosistem pelaburan dan pelaksanaan inisiatif di bawah pelan induk strategik.
"Projek-projek pemangkin dan bidang tumpuan di bawah pelan induk utama negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka memberikan sokongan kepada aktiviti pelaburan.
"Hal ini termasuk projek infrastruktur serta pelaburan dalam industri seperti elektrik dan elektronik (E&E), kimia, farmaseutikal, bahan termaju, tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik,” katanya.
Bagi tahun ketiga secara berturut-turut, pelaburan awam diunjurkan berkembang sebanyak 6.2 peratus -- melangkaui pertumbuhan purata sebelum COVID-19 sebanyak -0.2 peratus.
BNM percaya peningkatan itu didorong oleh kerajaan dan syarikat awam.
Pelaburan awam termasuk projek infrastruktur berskala besar yang sedang dilaksanakan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan Rapid Transit System Link (RTS Link), menurut BNM.
Aktiviti Perdagangan Bertambah Baik
Eksport kasar Malaysia dijangka pulih dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada 2024 berbanding penguncupan sebanyak 8.0 peratus pada 2023.
Ia disokong oleh pemulihan perdagangan global dan peningkatan kitaran teknologi yang menyokong eksport E&E dan bukan E&E serta harga komoditi lebih tinggi yang menyokong eksport komoditi, menurut BNM.
Eksport perkilangan, yang mencakupi 85 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, diunjurkan berkembang sebanyak 4.7 peratus pada tahun ini manakala eksport komoditi dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus dalam keadaan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.
"Unjuran eksport tertakluk kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan. Hal ini berpunca terutamanya daripada kegiatan ekonomi rakan perdagangan utama yang lebih lemah daripada jangkaan, gangguan pengeluaran komoditi dalam negeri yang tidak dijangka serta konflik geopolitik yang semakin meruncing.
"Bagaimanapun, limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang lebih kukuh daripada jangkaan dapat memberikan sokongan tambahan terhadap eksport Malaysia,” katanya.
Import kasar diunjurkan berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2024 berbanding penguncupan sebanyak 6.4 peratus selaras dengan eksport yang lebih tinggi dan permintaan dalam negeri yang semakin meningkat. - Bernama
BNM, KDNK, ekonomi, perdagangan, pelaburan swasta, inflasi, perdaganganMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!