Pelajar gagal kes saman guru pukul kepala guna penyapu

Azmer (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa bagi mewakili pelajar itu dalam kes samannya terhadap seorang guru sekolah kebangsaan, atas dakwaan memukulnya, lima tahun lalu.
Azmer (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa bagi mewakili pelajar itu dalam kes samannya terhadap seorang guru sekolah kebangsaan, atas dakwaan memukulnya, lima tahun lalu.
A
A
A

SELAYANG - Seorang pelajar 13 tahun, gagal dalam kes samannya terhadap tiga pihak termasuk bekas guru bahasa Melayu di sebuah sekolah kebangsaan di sini, berhubung dakwaan memukulnya hingga berdarah menggunakan penyapu, lima tahun lalu.

Ia berikutan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin menolak saman yang dikemukakan pelajar berkenaan (ketika kejadian berusia lapan tahun) yang diwakili bapanya yang berusia 41 tahun selaku plaintif terhadap guru wanita (60 tahun), guru besar sekolah sama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Nor Rajiah berkata, mahkamah mendapati, plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap semua defendan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, plaintif berada di tempat kejadian namun ia tidak disokong oleh saksi-saksi lain.

“Ia hanya disokong oleh keterangan saksi plaintif iaitu pegawai penyiasat selaku saksi plaintif kedua (SP2) dan bapa plaintif (SP3) namun mereka tidak berada di sekolah, semasa kejadian berlaku.

“Plaintif gagal membuktikan kesnya, maka dia gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos sebanyak RM5,000 kepada defendan pertama manakala RM5,000 kepada defendan ke dua dan ketiga.

Prosiding itu dihadiri peguam, Azmer Md Saad mewakili pelajar itu dan dua peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Mohd Zali Shaari bagi pihak guru terbabit.

Artikel Berkaitan:

Peguam Kanan Persekutuan, Nur Aifaa Che Abdullah pula bertindak bagi guru besar dan kerajaan.

Perbicaraan kes itu bermula tahun lepas dengan tiga saksi plaintif dan enam saksi defendan memberi keterangan.

Sementara itu, Azmer ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini dalam masa terdekat.

Pada 17 Oktober 2022, pelajar berkenaan yang diwakili bapanya selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan guru wanita itu, guru besar sekolah berkenaan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, mangsa berkata, semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada 3 petang, 18 Oktober 2019, dia dan seorang lagi murid ternampak guru berkenaan sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya, sambil memegang penyapu.

Plaintif (ketika kejadian berumur lapan tahun) mendakwa, semasa dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, guru berkenaan secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu dan dia telah mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.

Katanya, hasil pemeriksaan di Klinik Kesihatan Daerah Gombak, mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan perlu menerima lima jahitan serta terpaksa dibalut dengan bagi menutup luka.

Menurut plaintif, kegagalan kesemua defendan untuk memastikan plaintif dibimbing dengan baik sepanjang berada di sekolah dan berada di dalam keadaan selamat sepanjang masa sesi persekolahan berlangsung, telah menyebabkan guru berkenaan mendatangkan kecederaan yang dialami plaintif.

Dalam pada itu, plaintif menuntut satu deklarasi bahawa tindakan defendan pertama (guru) yang memukul kepala plaintif menggunakan penyapu adalah bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Murid itu juga menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (guru besar) dan defendan ketiga (kerajaan) adalah bertanggungjawab di atas segala tindakan defendan pertama semasa mengajar di sekolah.

Selain itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, permohonan maaf secara bertulis oleh kesemua defendan serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Guru itu yang memfailkan penyataan pembelaan pada 20 Disember 2022 pula mendakwa, tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.

Defendan itu berkata, kecederaan dialami plaintif adalah akibat kenakalannya sendiri apabila terhantuk dan terkena bucu kayu tempat letak kapur papan hitam ketika murid itu cuba meloloskan diri.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!