ZPP harap peniaga bazar Ramadan terus menjadi penyumbang zakat
BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) berharap peniaga di bazar Ramadan di negeri ini terus menjadi penyumbang dengan menunaikan zakat melalui agensi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, melalui tinjauan dilakukan mendapati keuntungan yang diperoleh peniaga pada tahun ini lebih baik berbanding sebelum ini dan berharap ia berterusan sehingga berakhir Ramadan.
Menurutnya, dengan sumbangan zakat yang diterima sekali gus membolehkan ZPP menjalankan amanah untuk membantu lebih ramai umat Islam yang memerlukan.
"Pada tahun ini kita nampak daripada tinjauan yang kita buat mendapati keuntungan yang mereka dapat lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
"Kita harap ia berterusan sehingga akhir Ramadan, semoga mereka dapat terus menyumbang dan melaksanakan tanggungjawab kepada ZPP," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menyantuni peniaga Bazar Ramadan Evoke di Jalan Baru Perai pada Selasa.
Amran berkata, program dengan kerjasama Penyelaras DUN Seberang Jaya dan MPKK Jalan Baru ini bertujuan menyemarakkan semangat menunaikan zakat di kalangan peniaga Muslim di Pulau Pinang.
Katanya, selain mempromosikan program-program agihan yang dijalankan Zakat Pulau Pinang program sedemikian juga diharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat di antara ZPP dengan pembayar-pembayar zakat khususnya peniaga.
"Program ini ialah program biasa yang tiap kali kita buat di bulan Ramadan menyantuni peniaga-peniaga bazar Ramadan dengan tujuan menyebar luas maklumat mengenai zakat.
"Ia juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara ZPP dengan peniaga-peniaga yang kita percaya mereka adalah prospek pembayar zakat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!