Lelaki dipenjara sehari, peras ugut pegawai bomba

Noor Alfian (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.
Noor Alfian (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Tindakan seorang lelaki memeras ugut seorang pegawai bomba membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Noor Alfian Noor Latif, 25, yang membuat pengakuan bersalah setelah dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap seorang penjawat awam dengan niat mangsa dalam ketakutan dikenakan tindakan dilaporkan kepada ketua jabatan.

Tindakan itu secara tidak jujur telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM19,250 di Bukit Katil di sini, kira-kira jam 9 malam pada 17 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja memukul dan menumbuk mangsa sama sehingga menyebabkan kecederaan di Bukit Katil pada jam 4.21 petang, 3 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai memeras ugut mangsa yang merupakan pegawai bomba dengan tujuan menakut-nakutkannya kerana mendakwa mangsa menjadi punca perceraian rumah tangganya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh meminta mangsa membuat pembayaran RM30,000 dan mangsa kemudian menyerahkan wang berjumlah RM19,250 melalui beberapa transaksi dan juga tunai.

Tertuduh kemudian telah berjumpa dengan mangsa pada 3 Mac lalu di sebuah rumah bernombor di Bukit Katil sebelum bertindak menumbuk mangsa sehingga mengalami kecederaan.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia perlu menanggung seorang anak, ibu dan adik-beradiknya yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM1,000 atau penjara satu bulan bagi pertuduhan kedua.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!