Jerit, bunyikan hon: Bicara kes Inspektor Sheila Jun ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes pegawai polis kontroversi, Inspektor Sheila di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, yang berdepan satu pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, tahun lalu ditetapkan pada 10 dan 11 Jun depan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan memohon mahkamah menetapkan tarikh itu selepas memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menyemak representasi yang dikemukakan Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36.
“Pihak pendakwaan memohon tarikh bicara ditetapkan sementara menunggu keputusan representasi itu,” katanya.
Majistret, Illi Marisqa Khalizan kemudiannya menetapkan 16 Mei untuk status representasi yang dikemukakan inspektor itu, untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Sementara itu, peguam M Manoharan yang mewakili Sheila berkata, sekiranya keputusan representasi itu menyebelahi anak guamnya, maka perbicaraan yang ditetapkan pada Jun depan, tidak akan diteruskan.
“Kami juga hairan kerana AGC ambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan kerana pihak pembelaan telah memasukkan semua butiran terperinci berkaitan pertuduhan yang disifatkan remeh.
“Pihak pendakwaan patut menggugurkan pertuduhan terhadap Sheila dan anak guam saya perlu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, selepas prosiding.
Pada 8 November tahun lalu, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 28 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta, sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini, pada jam 5.26 petang, 16 Jun tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!