Ramal skrip AS 'diserang' berulang

Bangunan Pusat Dagangan Dunia di AS yang ranap sejurus dirempuh pesawat yang dirampas pada 11 September 2001. - Foto Getty Images
Bangunan Pusat Dagangan Dunia di AS yang ranap sejurus dirempuh pesawat yang dirampas pada 11 September 2001. - Foto Getty Images
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganalisis politik antarabangsa meramalkan akan berlaku satu serangan di bumi Amerika Syarikat (AS) yang seakan-akan mengulangi skrip peristiwa serangan 11 September 2001 dalam masa terdekat.

Pakar Kajian Strategik Antikeganasan dan Diradikalisasi dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, serangan itu akan ditunjukkan seolah-olah dilakukan orang Islam sama ada melalui agensi perisikan, kumpulan pelampau, pihak tentera mahupun pengganas ditaja negara Iran.

Menurutnya, serangan itu turut mempunyai motif sama dengan peristiwa serangan 11 September 2001 di New York iaitu cuba membangkitkan kemarahan keseluruhan rakyat AS sekali gus mencipta alasan 'menghalalkan' serangan terhadap Iran.

"Cuma berbeza kali ini apabila tindakan itu dibuat Presiden AS, Donald Trump secara bersendirian sekali gus menunjukkan masalah kegilaan kuasa beliau untuk berperang tanpa merujuk pandangan Kongres AS.

"Berdasarkan jangkaan, rakyat dan Kongres AS pada mulanya akan menolak sokongan terhadap tindakan Trump.

"Ia ekoran pemimpin parti Republikan itu secara jelas memperlihatkan tindakan terdesaknya mahu menjadi wira perang di mata rakyat AS sekali gus meningkatkan peluang mengekalkan jawatan Presiden bagi penggal kedua hujung tahun ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pesawat yang membawa 179 penumpang dan anak kapal terhempas di Parand berdekatan Teheran pada Rabu lalu. - Foto: Ihsan MailOnline
Pesawat yang membawa 179 penumpang dan anak kapal terhempas di Parand berdekatan Teheran pada Rabu lalu. - Foto: Ihsan MailOnline

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas konflik ketegangan berlaku di antara Iran dan AS di negara Iraq sehingga mengakibatkan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani terkorban dalam serangan udara AS di Baghdad pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Iran mengakui bahawa tenteranya secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine yang mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal pada awal Rabu lalu.

Ketika kejadian itu, Iran baru sahaja melancarkan 22 misil balistik ke arah dua pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS.

Bagaimanapun, Dr Mohd Mizan tidak menolak kemungkinan rakyat AS akhirnya akan termakan dengan kempen menjadikan Iran sebagai 'pusat penyebaran kejahatan' sekiranya satu skrip 'serangan' baik berjaya dilakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Iran mengaku tembak jatuh pesawat Ukraine

Ukraine tuntut permohonan maaf secara rasmi Iran

Langkah ketenteraan baharu terhadap Iran: Trump perlu kelulusan kongres

Menurutnya, segala perkara berlaku adalah bersandarkan skrip cerita 'ditulis' Israel bagi membolehkan AS sebagai proksi negara itu mempunyai 'lesen' besar memusnahkan Iran yang dianggap antara musuh utama Israel.

"Faktor utama serangan ke atas Iran adalah demi menjaga kepentingan geopolitik Israel kerana mereka merampas Palestin.

"Selain itu, faktor lain turut melibatkan masalah kelembapan ekonomi AS di samping kebimbangan kebangkitan Blok Timur terutama negara China akan menjatuhkan empayar AS serta dominasi Israel di Asia Barat.

"Dengan mewujudkan krisis peperangan dengan Iran, mereka akan dapat menyekat perkembangan berterusan Blok Timur yang turut melibatkan Iran-Rusia-China," katanya.

Di sebalik ancaman serangan ke atas Iran semakin jelas, Mohd Mizan berpendapat negara China dan Russia yang juga merupakan anggota Blok Timur dijangka akan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan itu.

Menurutnya, situasi itu bakal menyaksikan Iran seolah-olah bersendirian menghadapi serangan AS yang pastinya menerima sokongan padu negara-negara sekutu dari Blok Barat.

"Selain itu, sebuah lagi negara Islam dijangka bersikap neutral adalah Turki disebabkan negara itu adalah pro-Sunni.

"Untuk menjadikan lebih seimbang, saya fikir Blok Timur perlu mewartakan kerjasama rasmi dan memberi amaran kepada Blok Barat. Dengan cara sebegini, kemungkinan berlakunya Perang Dunia Ketiga akan dapat terhindar," katanya.

Mohd Mizan berkata, negara Iraq menjadi medan konflik antara AS dan Iran kerana politik negara itu yang sebelum ini 'dicengkam' kerajaan AS, kini dilihat sudah beralih kepada kepimpinan prosyiah.

Menurutnya, kerajaan pemerintah Iraq ketika ini dikuasai pemimpin pro-Iran dan hal itu jelas dilihat susulan keputusan 170 anggota Parlimen Iraq menandatangani resolusi mengusir tentera AS dari Iraq minggu lalu.

"Perkembangan politik terkini negara Iraq tidak disenangi AS kerana sekiranya Iran terus mempengaruhi pemerintahan Iraq, ianya pasti menggugat industri pembekalan persenjataan dan minyak mentah yang dikawal AS selama ini," katanya.

Pada 11 September 2001, masyarakat dunia dikejutkan dengan peristiwa runtuhnya menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat selepas dirempuh dua pesawat dirampas pengganas.

Peristiwa itu membawa kepada tindak balas serta merta AS dan British yang mengisytiharkan perang terhadap kumpulan Taliban dan Al-Qaeda di Afghanistan pada 7 Oktober 2001.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!