Pemain industri tembakau lobi MP memalukan, CAP gesa tubuh RCI

Mohideen. Foto Bernama
Mohideen. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tindakan pemain industri tembakau dan vape yang didakwa melobi ahli Parlimen (MP) di Parlimen, seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, perbuatan itu telah mencemarkan kemuliaan Parlimen sebagai tempat undang-undang digubal untuk kepentingan negara.

Menurutnya, tindakan itu juga menunjukkan industri tembakau dan vape jelas telah melanggar Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Kawalan Tembakau (FCTC).

"Kami ingin tahu kenapa penggubal dasar Malaysia membenarkan industri untuk mempengaruhi hasil Rang Undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan itu.

"Malaysia telah meratifikasi WHO FCTC pada 2005, hampir dua dekad yang lalu, namun ini boleh berlaku di tempat yang mulia di mana undang-undang diluluskan. Ia adalah amat memalukan dan mensubversi proses perundangan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen menambah, perkara itu tidak sepatutnya diterima dalam apa juga cara.

"Kami sangat berterima kasih kerana Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mengakui bahawa pemain industri tembakau dan vape telah bertemu dengan ahli Parlimen di Parlimen itu sendiri untuk melobi agar GEG dikecualikan.

"Beliau akhirnya mengesahkan kejadian itu berlaku sejak Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

"Pelobi ini diibarat seperti peniaga dadah (nikotin menyebabkan ketagihan) dengan melobi ahli Parlimen untuk mengesahkan sesuatu yang akhirnya akan menghancurkan belia dan negara," katanya.

Tambah Mohideen, malangnya terdapat beberapa penggubal dasar yang terlibat dalam skim besar itu, mengecualikan GEG untuk melayani agenda pelobi yang mahu terus menagih rakyat Malaysia untuk beberapa generasi akan datang supaya mereka mendapat keuntungan daripadanya.

"Memandangkan perkembangan semasa ini, kami mengulangi gesaan kami agar kerajaan menubuhkan RCI mengenai perkara yang mempunyai kepentingan negara ini.

"Kami ingin mengetahui sejauh mana ‘penyusupan’ dan ‘pengaruh’ pelobi terhadap ahli Parlimen kita. Kami juga ingin mengetahui siapa di sebalik usaha untuk mensabotaj GEG.

"Melainkan menyalah guna proses Parlimen ini dicegah, ia akan membuka pintu kepada kuasa luar termasuk kerajaan asing untuk mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka," katanya.

Beliau turut menggesa Parlimen untuk meminda Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 bagi mengembalikan semula komponen GEG tanpa sebarang penangguhan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!