Idea genius gadis hijab Malaysia

DR Farah Shaheera (kiri) akan terus berusaha menghasilkan hijab yang sesuai dan selamat dipakai doktor Muslim di dalam OT.
DR Farah Shaheera (kiri) akan terus berusaha menghasilkan hijab yang sesuai dan selamat dipakai doktor Muslim di dalam OT.
A
A
A

ENGGAN membiarkan dirinya terlepas peluang pembelajaran dalam bidang pembedahan, seorang doktor pelatih di United Kingdom (UK), Dr Farah Shaheera Roslan tekad mencari jalan penyelesaian mencipta tudung yang sesuai dipakai ketika melakukan pembedahan ke atas pesakit.

Inisiatif tersebut disifatkan wajar daripada terus menyalahkan sistem dan dasar sedia ada di negara asing.

"Saya bertugas bergilir-gilir di beberapa hospital di wilayah timur Midland dan menyedari dasar berbeza ketika di dewan bedah (OT) yang mana secara amnya, prosedur standard adalah memakai pakaian bersih bagi mengelak jangkitan kuman.

"Kadangkala saya bawa beberapa selendang bersih dari rumah, tetapi anda tidak dapat menjangkakan bila peluang untuk masuk ke dalam OT. Namun begitu, segelintir hospital tidak membenarkan pemakaian selendang bagi aspek kebersihan," kata doktor muda berusia 26 tahun itu ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut doktor pelatih tahun kedua (Tahun asasi ke-2) berkenaan, apabila keadaan seumpama itu berlaku, ia secara tidak langsung akan menyebabkannya hilang peluang pembelajaran dalam bidang pembedahan yang paling diminatinya. Justeru, beliau tekad mencari solusi terbaik.

"Idea (mencipta hijab) ini muncul ketika saya dikeluarkan dari OT. Sukar untuk mengimbangi antara tuntutan agama dan mematuhi keperluan dan peraturan hospital dan prosedur,” kata Dr Farah Shaheera yang berhasrat menjadi pakar bedah.

Jelas beliau, walaupun tiada hijab khusus untuk doktor Muslim di OT, kakitangan hospital sering membantunya mencari bahan yang sesuai untuk menutup rambut dan leher mengikut cara Islam.

Langkah terkehadapan

Artikel Berkaitan:

Dalam usahanya mencari penyelesaian, Farah mula menghantar e-mel dan berhubung dengan syarikat pembekal perubatan di Malaysia. Bagaimanapun, kos penghantaran membatasi usahanya.

Dr Farah Shaheera yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan tidak berputus asa, sebaliknya memberi tumpuan kepada syarikat di UK.

"Saya mula berhubung dengan kira-kira lima syarikat tempatan dan sebuah syarikat telah membalas lalu mula menghantar bahan-bahan tudung ke rumah. Bahan yang legap, mudah bernafas, boleh diguna semula dan mudah dipakai adalah antara yang menjadi pilihan," katanya.

Menariknya, hasil sambutan positif ke atas hijab pakai buang di UK, beliau sudah menerima lebih enam cadangan dari institusi berprestij tempatan untuk bekerjasama bagi menjayakan projek berkenaan. Hospital Universiti Oxford adalah antara enam pihak yang mengemukakan cadangan terbabit.

Namun begitu, bicara Dr Farah Shaheera, projek itu masih di peringkat awal dari segi menangani jurang dasar dan sistem.

"Tidak. Ini bukan untuk membuat keuntungan walaupun saya menerima komen bahawa saya boleh membuat keuntungan," ujarnya yang mengambil masa kira-kira tiga bulan melakukan penyelidikan untuk hijab berkenaan.

Melangkah ke dekad baharu, Farah Shaheera berkata, dirinya mahu membantu lebih ramai doktor dan pelajar Islam yang sukar memakai hijab di OT.

Pada masa ini, sudah ada perubahan pasif dengan hospital bersedia untuk menggunakan idea itu di hospital, selain terdapat juga tindakan aktif dengan membuat perubahan kepada dasar.

Beliau juga berbincang dengan Persatuan Perubatan Islam Britain dan hasil perbincangan berkemungkinan menjurus kepada matlamat yang lebih tinggi dan berpotensi mempengaruhi dasar kod pakaian dalam amalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Saya akan (dan terus) menyokong pelajar dan doktor perubatan untuk mematuhi tuntutan agama ketika bertugas terutama di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan yang mempunyai ramai doktor Islam dan pada masa sama mempelajari lebih lanjut tentang keadaan sebenar di OT," ulasnya.

Wanita muda ini telah menerima anugerah dan sijil bagi Doktor Tahun Asas (2019) dari Hospital Universiti Nottingham dan menyempurnakan Peperiksaan Keahlian Surgical Royal Colleges Great Britain dan Ireland yang diikutinya semasa menjadi doktor pelatih.

Polis wanita UK pakai MoreSlim

DR Eliesmaziah Alias yang berusia 46 tahun, seorang lagi anak jati Malaysia yang mengharumkan nama negara. Masakan tidak, tudung rekaannya yang dikenali sebagai MoreSlim telah dipilih untuk dipakai pasukan polis wanita Muslim di UK dua tahun lalu.

DR Eliesmaziah Alias (kiri) anak jati Malaysia mengharumkan nama negara apabila tudung rekaannya MoreSlim dipilih untuk dipakai pasukan polis wanita Muslim di UK dua tahun lalu. Foto: Ihsan Instagram @Elies Elias
DR Eliesmaziah Alias (kiri) anak jati Malaysia mengharumkan nama negara apabila tudung rekaannya MoreSlim dipilih untuk dipakai pasukan polis wanita Muslim di UK dua tahun lalu. Foto: Ihsan Instagram @Elies Elias

Menurut saintis kelahiran Melaka itu, hijab istimewa tersebut dihasilkan menggunakan fabrik bersifat ringan, antibakteria dan antipeluh yang sesuai dipakai untuk tempoh masa panjang.

Pada masa sama, koleksi tudung yang hadir dalam empat rona hitam, biru, kelabu dan putih berkenaan turut mendapat pengesahan daripada International Organization for Standardization, European Standard dan American Association of Textile Chemists and Colorists.

KOLEKSI hijab MoreSlim diperbuat daripada fabrik bersifat ringan, antibakteria dan antipeluh.
KOLEKSI hijab MoreSlim diperbuat daripada fabrik bersifat ringan, antibakteria dan antipeluh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!