AMK, Wanita, Srikandi sokong Sangkar kekal Pengerusi MPN Sabah
KOTA KINABALU - Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah pada Rabu menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
Ketua AMK Sabah, Zaidi jatil berkata, sidang akhbar yang diadakan secara bersama itu sebagai maklum balas berhubung kenyataan membabitkan 15 ketua cabang yang menolak kepimpinan Sangkar pada Isnin lalu.
"Kami lihat kenyataan 15 ketua cabang untuk menukar Pengerusi MPN Sabah ini tidak pernah berbangkit di mesyuarat sebelum ini.
"Kita telah melalui lima mesyuarat tahunan pada tahun lepas dan tidak pernah berbangkit sekalipun agenda untuk menukar sehingga pada Ahad lepas Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin telah berdiri dan meminta Sangkar secara terhormat meletakkan jawatan atas beberapa sebab jelas," katanya dalam sidang akhbar tersebut di Pejabat MPN PKR Sabah di sini pada Rabu.
Zaidi berkata, tindakan itu dilihat membelakangi proses musyawarah yang sepatutnya dibawa dalam perbincangan atau mesyuarat parti.
"Ikutilah saluran tersebut bukan dengan mengeluarkan kenyataan media dan sidang media yang menggambarkan pergolakan dalaman parti yang melihatkan parti ini lemah.
"Sebarang keputusan atau berkenaan perubahan MPN Keadilan Sabah adalah atas kuasa presiden. Lantikan Pengerusi MPN dalam Perlembagaan parti di mana lantikan ini atas kuasa presiden dan untuk peletakan jawatan atau mohon pertukaran pengerusi MPN perlu di bawah kuasa presiden," katanya.
Ditanya lanjut mengenai kenyataan mengenai rombakan kepimpinan negeri perlu dilakukan susulan Sangkar sudah tidak mendapat sokongan majoriti, Zaidi memaklumkan perkara itu juga diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
"Setakat ini tidak ada sebarang arahan kepada ketua-ketua cabang atau secara jelas dengan bersurat untuk menukar Pengerusi MPN.
"Setakat ini Sangkar sah sebagai Pengerusi MPN walaupun ada andaian daripada ketua cabang yang terlibat," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub turut menyangkal dakwaan Pengerusi MPN Sabah tidak pernah melakukan program memperkasakan kepimpinan parti sejak beliau dilantik pada 2022.
Sebaliknya beliau berkata, banyak inisiatif program daripada Pengerusi MPN dalam memperkasakan dan mengeratkan hubungan antara pimpinan negeri dan cabang.
"Ini kita boleh lihat jelajah Pengerusi MPN dan cabang di seluruh negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan jelajah mesyuarat pimpinan cabang di negeri ini melibatkan lima zon pada 2022 hingga 2023.
"Jelajah mesyuarat MPN bukan saja tertumpu agenda mesyuarat semata-mata tetapi juga aktiviti lain bagi memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi selain menyantuni masyarakat dengan menyampaikan bakul makanan dan sebagainya.
"Tuduhan yang mengatakan pengerusi hanya menganjurkan majlis makan-makan adalah fitnah dan mempunyai niat yang tidak baik serta berkepentingan peribadi," katanya.
Sehubungan itu, Noriha berkata, kenyataan itu bukan saja mencemarkan nama parti tetapi menganggu usaha persiapan pimpinan Wanita dan AMK menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!