Syor hukuman mati ke atas dalang penipuan kewangan terbesar Vietnam
HANOI - Pendakwa raya Vietnam telah mencadangkan hukuman mati ke atas Pengerusi Van Thinh Phat, Truong My Lan yang menjadi dalang kes penipuan kewangan terbesar di negara itu.
My Lan yang juga pengerusi pemaju hartanah, Van Thinh Phat Holdings Group, didakwa melakukan jenayah berat berulang kali dalam tempoh yang lama dengan kaedah canggih dan teratur.
Dia kini menghadapi perbicaraan di Ho Chi Minh atas tuduhan menjadi dalang utama penipuan lebih AS$12 bilion atau sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut pihak penyiasat, My Lan dan beberapa rakannya dituduh mengambil 304 trilion dong daripada Saigon Joint Stock Commercial Bank (SCB) yang dikawalnya melalui puluhan proksi.
Malah, dia didakwa memperuntukkan jumlah yang besar dengan mengatur pinjaman menyalahi undang-undang kepada syarikat yang tidak wujud.
"Truong My Lan tidak mengaku bersalah dan dia tidak menunjukkan kekesalan. Jadi perlu ada hukuman yang tegas dan dia perlu diasingkan daripada masyarakat," kata pendakwa raya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!