KPDN tahan lelaki Pakistan miliki 108kg gula pasir tanpa lesen

Lelaki warga Pakistan ditahan miliki gula pasir tanpa lesen di sebuah kawasan perumahan Likas.
Lelaki warga Pakistan ditahan miliki gula pasir tanpa lesen di sebuah kawasan perumahan Likas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang lelaki warga Pakistan memiliki 108 kilogram gula pasir tanpa lesen membawa padah apabila ditahan di sebuah taman perumahan di Likas pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama gula pasir yang terdapat di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan tersebut.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan mendapati gula pasir yang disimpan di bahagian belakang kenderaan itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

"Pemilik juga tidak mempunyai lesen atau permit untuk menyimpan gula pasir di lokasi tersebut.

"Pihak penguat kuasa KPDN Sabah telah menahan lelaki tersebut untuk siasatan lanjut manakala gula pasir dan kenderaan telah disita dengan nilai sitaan lebih RM50,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan melibatkan individu," katanya.

Georgie dalam pada itu mengingatkan bahawa KPDN Sabah ketika ini sedang giat menjalankan pemeriksaan dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

Artikel Berkaitan:

"KPDN Sabah akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga," tegasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!