Terima rasuah daripada sindiket penyeludupan: 10 penjawat awam direman 4 hari

SPRM menahan reman 10 penjawat awam untuk siasatan kes sindiket penyeludupan arak, tembakau dan rokok.
SPRM menahan reman 10 penjawat awam untuk siasatan kes sindiket penyeludupan arak, tembakau dan rokok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat hari terhadap 10 penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama empat hari bermula Rabu itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, kesemua suspek membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 30-an hingga 50-an telah ditahan bersama lima lagi individu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan pada Selasa.

"Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Samba 2.0 dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain antara tahun 2017 hingga 2023," katanya.

Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini.
Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini.

Susulan tangkapan ini, AML SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit serta membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap 10 suspek tersebut untuk disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lima lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, AML SPRM telah berjaya menangkap dan menahan reman 11 individu termasuk lima orang penjawat awam.

Modus operandi sindiket ini termasuk menggunakan khidmat 'forwarding agent' sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!