Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM212,000
BATU PAHAT - Polis merampas 193 kotak berisi pelbagai mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM212,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tinggal di Taman Harmoni, Parit Sulong di sini, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, serbuan yang turut melibatkan pasukan polis Marin Wilayah 2 itu dibuat hasil risikan selama sebulan.
“Sepasukan polis Marin Wilayah 2 bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, telah melakukan serbuan di sebuah rumah tinggal di Taman Harmoni, Parit Sulong.
“Ketika serbuan dibuat, tidak ada sesiapa yang ditemui di rumah tinggal berkenaan dan kita terpaksa pecahkan mangga kunci untuk masuk.
“Hasil serbuan polis telah menemui dan merampas sebanyak 193 kotak pelbagai jenis yang didalamya mengandungi pelbagai mercun dan bunga api dengan anggaran bernilai RM212,000,” katanya.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1967.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sampai RM10,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis kini sedang mengesan pemilik rumah tinggal berkenaan termasuk saksi-saksi bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!