Nikmati durian di Dusun Durian Landak
PONTIAN - Musim durian sudah tiba. Bagi peminat raja buah, inilah masa yang ditunggu- tunggu untuk menikmati keenakan buah durian.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah Pontian mendapati peniaga sudah mula menjual durian di tepi jalan, namun harganya agak tinggi disebabkan permulaan musim selain bekalan masih kurang.
Sebut pasal durian, pastinya lokasi terkenal di daerah ini ialah Dusun Durian Landak yang menyediakan pelbagai jenis buah durian berkualiti antaranya musang king, durian kampung, IOI dan udang merah.
Pemiliknya, Abd Hadi Ahmad Sani, 41, berkata, sejak Dusun Durian Landak berkonsep santai di dalam dusun dibuka empat tahun lalu, durian musang king mendapat permintaan tinggi.
Beliau berkata, malah ada pelanggan yang sanggup membuat tempahan awal untuk menikmati durian musang king di dusun itu.
Menurutnya, bagaimanapun, harga pasaran durian kali ini agak mahal sedikit disebabkan pengeluarannya berkurangan berpunca daripada musim hujan dan kemarau pada pertengahan dan akhir tahun lalu.
Jelasnya, faktor ini mendorong kepada hasil yang kurang sekaligus menyebabkan harganya melonjak di pasaran.
"Contohnya harga durian kampung, biasa harga sekitar RM6 sekilogram tetapi sekarang boleh cecah RM10 hingga RM15 sekilogram.
"Namun, ramai yang datang ke dusun untuk rasa keenakan durian musang king. Di sini harganya sekitar RM35 sekilogram bergantung kepada gred.
"Musim durian di Johor baharu bermula. Merata tempat kalau di Johor paling terkenal sudah tentu durian Segamat. Di negeri lain seperti Pahang, ramai peraih cakap sudah hujung musim," katanya.
Katanya, pada September tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi bantuan dalam skop agro pelancongan.
"Kini kawasan dusun lebih selesa dengan adanya kemudahan surau, tandas dan sebuah bangunan yang menempatkan tiga buah bilik homestay," katanya.
Pekebun durian, Razip Mohammad, 58, berkata, durian musang king paling enak yang pernah dirasai adalah di Terengganu.
"Lain tempat lain rasa, durian di kawasan tanah bukit lain rasa, tanah lembah lain.
"Musim panas mungkin mempengaruhi pengeluaran durian rasanya sistem pengairan juga perlu diperbaiki," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!