Op Lancar dilaksana untuk kawal aliran trafik sempena Ramadan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Op Lancar itu dilaksanakan di kawasan 'hotspot' yang berlaku kesesakan lalu lintas.
"Kita mengenal pasti sebanyak 242 lokasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam program Malaysia Hari Ini, di sini pada Rabu.
Ujar beliau, seramai 200 anggota dan pegawai JSPT ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di 142 lokasi di Kuala Lumpur.
"Jumlah kenderaan yang direkodkan di ibu kota dalam tempoh dua jam adalah sebanyak 250,000 pergerakan kenderaan.
"Manakala di Selangor pula, kita telah kenal pasti 100 lokasi kesesakan lalu lintas yang melibatkan 16 daerah," katanya.
Mohd Azman berkata, pihaknya sudah menjangkakan berlaku kesesakan lalu lintas pada Ramadan.
"Ia kerana beberapa perkara antaranya majikan memberikan pelepasan awal kepada pekerja untuk pulang ke rumah serta masyarakat mengambil peluang pergi ke bazar Ramadan.
Beliau berkata, sebanyak 36.6 juta kenderaan yang berdaftar di Malaysia sehingga Disember lalu.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 23 juta kenderaan berstatus aktif yang bergerak di jalan raya," katanya.
Katanya, statistik pergerakan kenderaan pada setiap hari di Lembah Klang adalah sebanyak 1.2 juta kenderaan.
"Pada hujung minggu jumlah pergerakan kenderaan adalah hampir 800,000 kenderaan yang memasuki ibu kota," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, sebanyak 599,961 kes kemalangan yang merekodkan lebih 6,000 kematian dicatatkan sepanjang tahun lalu.
"Daripada hasil analisis, kita mendapati lebih 90 peratus punca kemalangan adalah sikap dan ia melibatkan kecuaian pemandu sendiri.
"Pengguna jalan raya perlu mengawal emosi dan tingkah laku supaya tidak mengambil tindakan yang boleh memudaratkan kepada diri sendiri," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!