Inisiatif ‘Back To School KSSB’
SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyalurkan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 735 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di Selangor.
Inisiatif yang dikenali sebagai program ‘Back To School KSSB’ itu merupakan aktiviti yang dijalankan oleh KSSB secara tahunan. Matlamat utama pelaksanaan program tersebut adalah untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah dari komuniti Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan operasi KSSB di sekitar daerah Kuala Langat dan Hulu Selangor.
Antara kawasan komuniti Orang Asli yang terlibat ialah Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Kampung Orang Asli Pulau Kempas, dan sebuah Sekolah Kebangsaan Asli Bukit Cheding, masing-masing di Kuala Langat serta Kampung Orang Asli Kuala Garing di Hulu Selangor.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat KSSB, Suhaimi Khalidi berkata, kesemua pelajar sekolah menerima sumbangan dalam bentuk beg sekolah, botol minuman serta alat tulis.
“Kita (KSSB) berharap melalui sumbangan yang disampaikan kepada para pelajar dapat memberikan keceriaan dan menyuntik semangat kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan yang baharu,” katanya.
Inspirasi
Tambah Suhaimi, selain para pelajar Orang Asli, KSSB turut menyalurkan sumbangan yang sama kepada para pelajar di Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Al-Ridzuan di Bestari Jaya yang juga merupakan sekolah angkat KSSB.
Dalam pada itu, selain kebajikan para pelajar Orang Asli, KSSB menurut Suhaimi turut membantu 255 anak kakitangannya dengan memberikan sumbangan kelengkapan persekolahan.
“KSSB berharap melalui program yang dijalankan seperti ini, ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” ujarnya.
Keseimbangan sosioekonomi
Sebagai sebuah syarikat milikan kerajaan negeri, KSSB jelas Suhaimi turut bertanggungjawab memastikan keseimbangan dengan pembentukan nilai masyarakat setempat, di mana KSSB berada.
Ia sejajar dengan inisiatif yang diperkenal oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri
Amirudin Shari untuk merangsang sosioekonomi berterusan dengan memberi penekanan terhadap aspek pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.
“Program seperti ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara KSSB dengan penduduk dalam kalangan Orang Asli,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!