Peningkatan kes kesihatan mental remaja membimbangkan - Doktor
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai perubatan profesional di Putrajaya melahirkan kebimbangan berhubung masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan awal remaja di seluruh dunia dengan kes bunuh diri menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam demografi ini.
Dr Saraswathy Tangamani dari Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 9 berkata, pengabaian kesihatan mental golongan ini dalam jangka masa panjang boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal dan mental di alam dewasa, sekali gus mengehadkan peluang mereka menjalani kehidupan penuh bermakna.
"Di peringkat global, satu daripada tujuh awal remaja ini mengalami masalah gangguan mental yang menyumbang 13 peratus daripada beban penyakit global dalam kumpulan umur ini.
"Kemurungan, keresahan dan gangguan tingkah laku menjadi antara penyebab utama penyakit dan ketidakupayaan," katanya kepada Bernama dalam kenyataan.
Menyedari keseriusan trend yang membimbangkan itu, beliau memulakan satu projek dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor pada 15 Mac lepas.
Projek itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan kesihatan mental dan menawarkan saringan, rujukan dan pengurusan bersesuaian bagi remaja ini yang berdepan cabaran kesihatan mental.
Program yang diadakan dari 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu turut disertai Dr Saritha Ramachandran dari Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang dan Dr Kausalya Naidu dari Klinik Kesihatan Dato Keramat.
Ia dimulakan dengan acara pembentangan oleh seorang pakar psikiatri, selain penyediaan enam reruai interaktif yang menampilkan paparan dan demonstrasi oleh kaunselor klinikal, pakar nutrisi dan ahli terapi kerja.
Penganjuran projek yang memasuki tahun keempat pelaksanaanya itu melambangkan kerjasama antara pelatih dari Program Latihan Malaysia-Ireland untuk Perubatan Keluarga (MInTFM) dan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang.
Ia turut mendapat sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang komited memperjuangkan kesihatan mental dan mempromosi inisiatif kesejahteraan.
Peserta juga mendapat akses kepada perkhidmatan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan untuk menilai kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan mereka. - Bernama
-- BERNAMA
TAG: kesihatan mental, bunuh diri, remaja, Dr Saraswathy Tangamani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!