Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan atas tangga pangsapuri
JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan atas anak tangga di tingkat sembilan sebuah pangsapuri di Jalan Sagu, Taman Daya di sini pada 11 Mac lalu.
Penemuan bayi tersebut oleh penghuni di tepi unit tingkat sembilan itu dikongsikan seorang daripada ahli keluarga penghuni tersebut dalam Facebook.
Menurutnya, bayi berkenaan masih bertali pusat dan memiliki kesan darah semasa ditemukan selain tidak berpakaian.
"Keluarga kami kemudian menghubungi polis serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan lanjut.
"KKM sudah membawa bayi itu dan saya tiada maklumat lanjut berkaitannya. Dia buang bayi perempuan itu tanpa pakaian atau berbalut kain, dia letak di tangga," katanya menerusi perkongsian tersebut.
Difahamkan laporan dibuat di Balai Polis Setiap Indah dan bayi berkenaan dalam keadaan sihat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 11 Mac lepas.
"Bayi tersebut ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dari 11 Mac sehingga semalam dan sekarang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Supek belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan untuk mengesannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Pihak polis katanya, memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi tersebut untuk menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Adila Zainuddin 019-4039257.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!