11,943 PATI dihantar pulang ke negara asal

Datuk Ruslin Jusoh. Foto: Bernama
Datuk Ruslin Jusoh. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 11,943 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program Repatriasi Migran Jabatan Imigresen (JIM), kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Bercakap pada sidang media di sini pada Rabu, Ruslin berkata, mereka telah selesai proses berkenaan selepas menjalani proses dokumentasi dan pembayaran kompaun oleh kedutaan masing-masing.

Beliau berkata, kesemuanya adalah daripada 16,824 PATI yang telah mendaftarkan diri dengan program Repatriasi Migran, sehingga semalam.

"Daripada jumlah yang didaftarkan itu, 12,495 adalah lelaki, wanita (3,728), kanak-kanak lelaki (310) dan kanak-kanak perempuan (291).

"Indonesia merekodkan jumlah pendatang tanpa izin tertinggi yang mendaftarkan diri dengan program ini iaitu 7,782 orang diikuti Bangladesh (2,530), India (2,454) dan Pakistan (1,617),” katanya.

Berkaitan kes pengabaian majikan terhadap 94 warga Bangladesh, Ruslin berkata, mereka telah diserahkan kepada majikan terbabit bagi urusan penempatan pekerjaan dan urusan permohonan pas lawatan kerja sementara (PLKS).

"Kita tak tahan pekerja ini, banyak pihak media tidak dapat maklumat jelas. Kita (JIM) bawa mereka ke rumah perlindungan sebab mereka tidak menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Ada dalam kalangan mereka memiliki dokumen, ada yang belum dapat pas lagi dan dalam proses untuk mendapatkan pas,” katanya.

Pada 27 Februari lepas, media melaporkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 94 pekerja warga Bangladesh yang dilaporkan terabai tanpa disediakan pekerjaan dan penginapan yang kondusif oleh majikan sejak dibawa masuk ke negara ini pada November 2023 oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ruslin mengingatkan majikan agar tidak memegang pasport milik pekerja mereka bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja terbabit ketika berada di luar premis pekerjaan.

"Majikan sebenarnya tidak boleh memegang dokumen (pasport) pekerja tersebut, sebab setiap kali pemeriksaan kita, kita dapati ada dalam kalangan pekerja warga asing, dia tidak ada dokumen (bersama mereka) sedangkan dokumen itu ada tetapi dipegang oleh majikan. Sepatutnya (pasport) dipegang oleh mereka (pekerja),” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!