Harga jaket setahun gaji guru
PENGAKUAN tertuduh kes rasuah SRC International, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dia belanja AS$38,695 (kira-kira RM130,188) beli jaket super mahal dari Butik Bijan, Berverly Hill, California, Amerika Syarikat ingatkan saya kepada beberapa perkara.
Pertama, pengalaman saya berkenalan dengan orang yang ditakrif sebagai Melayu Baru pada tahun 1980-an dan 90-an. Kedua, tentang betapa terpisahnya Najib daripada kehidupan rakyat biasa Malaysia dan ketiga, kesan ke atas mata wang apabila kita berbelanja di luar negara.
Kalau Najib belanja lebih RM130,000 sehari di Amerika Syarikat, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula belanja RM3.3 juta beli emas permata di Butik De Grisogono, Itali.
Sebagai perbandingan, kita ambil gaji maksimum kakitangan Perkhidmatan Pendidikan sebanyak RM13,144 sebulan. Kita kali dengan 12 bulan, jumlah besarnya sebanyak RM157,728 setahun.
Maksudnya, dalam satu hari Najib belanja untuk beli jaket atau sut saja-kurang sikit daripada satu tahun gaji seorang pegawai pendidikan paling kanan.
Jumlah yang Rosmah belanja guna kad kredit Najib, kononnya untuk beli hadiah kepada seorang Raja Arab bersamaan dengan 251 bulan (21 tahun) gaji pegawai yang sama atau bersamaan dengan pendapatan bulanan 1,100 isi rumah kumpulan miskin B40.
Walaupun Najib bukan orang kaya baru (OKB) kerana dia memang daripada latar belakang orang senang tapi tabiat dan seleranya sama dengan OKB.
Rosmah bukan daripada kelas aristokrat atau orang berada. Dia anak orang kampung yang pintar dan mendapat pendidikan tinggi.
Pelajarannya lebih tinggi daripada Najib. Jadi, tidak peliklah kalau Najib hormat dan sekali gus takut kepadanya. Memahami latar belakang Rosmah, maka tidak hairanlah kalau selera dia serupa dengan OKB.
OKB Melayu era 1980an dan 90an jadi kaya-raya dalam sekelip mata hasil kontrak, projek dan saham pemberian kerajaan atau melalui rasuah. Mereka tidak semestinya berpendidikan atau berhemah tinggi.
Tapi, tidak semua OKB serupa tabiatnya. Saya perhatikan ada beza antara OKB berpendidikan Melayu dengan yang berpendidikan Inggeris dan antara yang belajar dalam negara dengan yang belajar di luar negara.
Selalunya yang teruja dan mabuk dengan kekayaan serta kecanggihan adalah yang berpendidikan Melayu dan belajar dalam negara.
Mereka amat taksub dengan simbol kejayaan seperti kediaman mewah, pakaian mahal, jam tangan berjenama, kereta besar dan makanan mewah. Ada yang hisap cerut import sampai RM100 sebatang. Cerut kegemaran mereka ialah 'Cohiba' buatan Cuba.
Akhir sekali, apabila kita berbelanja di luar negara atau membeli barang-barang import, duit kita mengalir keluar. Sebelum mengembara, kita akan tukar duit kita kepada mata wang negara yang kita akan lawati.
Kita pergi ke kaunter tukaran wang asing, bagi duit kita dan ambil duit asing. Misalnya, kita tukar duit kita kepada riyal Saudi.
Kita bagi ringgit dan dapat riyal tapi apa yang berlaku ialah duit kita akan ditukar dulu kepada dolar Amerika dan duit dolar yang kita dapat itu akan digunakan untuk beli riyal.
Ini adalah kerana sistem tukaran mata wang dunia bergantung kepada nilai dolar atau nilai mata wang utama macam euro Kesatuan Eropah, yen Jepun dan franc Swiss.
Walaupun sudah dicuba, pertukaran terus satu mata wang kepada mata wang lain tidak berjaya. Setiap kali kita beli mata wang asing, nilai duit kita jatuh. Lagi banyak mata wang asing kita beli, lagi murah duit kita.
Sebab itu, kawalan tukaran asing ini sangat penting. Kalau kadar tukaran duit kita jatuh, harga barang-barang yang kita import secara automatik akan jadi lebih mahal.
Sidang Kemuncak Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini, antara lain mencadangkan supaya negara-negara Islam berniaga antara satu dengan lain guna emas atau mata wang kripto iaitu mata wang digital.
Sebab itu jugalah Amerika Syarikat akan guna apa saja cara termasuk perang untuk kekalkan dolar sebagai tiang kepada sistem tukaran asing dunia. Kalau dunia berhenti guna dolar, Amerika akan bankrap dalam sekelip mata.
Natijahnya, untuk selamat dan maju dalam dunia yang semakin bersaingan dan sukar, kita memerlukan pemimpin yang berkebolehan dan sistem ekonomi yang bersih.
Sistem yang rasuah seperti dahulu telah mendedahkan negara kita kepada penipuan, peras ugut dan manipulasi oleh kuasa-kuasa besar dunia atas nama ekonomi terbuka dan pasaran bebas. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!