Bayi tiga bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bayi perempuan berumur tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, bayi itu baru saja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh pada Isnin lepas.

"Pegawai perubatan Hospital Putrajaya menerima bayi terbabit pada jam 11.45 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri, pegawai perubatan kemudian membuat laporan pada jam 1.04 tengah hari.

"Difahamkan, pengasuh telah melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit, namun pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.16 tengah hari," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang wujud dan mangsa telah dirujuk ke Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, selain sampel organ mangsa juga diambil untuk dihantar ke makmal.

A Asmadi berkata, polis telah merakamkan percakapan ibu bapa mangsa dan pengasuh.

"Pada hari kejadian, yang merupakan hari kedua mangsa dihantar ke rumah pengasuh, bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat kerana sudah batuk selama seminggu.

"Ibu mangsa memaklumkan bayinya dihantar ke klinik Presint 18 pada 18 Mac untuk pemeriksaan, namun keputusan X-ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengasuh yang menjaga empat kanak-kanak termasuk mangsa memberitahu bayi itu dihantar pada jam 8 pagi oleh ibunya dalam keadaan mengantuk, selesai memberikan susu kepada bayi itu pengasuh terus ke dapur dan menunaikan solat duha.

"Selepas itu, pengasuh menyedari mangsa tidak sedarkan diri ketika mengejutkannya daripada tidur dan melakukan CPR, namun sedikit darah tiba-tiba keluar dari lubang hidung kiri mangsa, lalu pengasuh segera menghubungi talian kecemasan," katanya.

A Asmadi berkata kematian bayi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR sehingga keputusan bedah siasat diperoleh. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!