DBKL pantau, ambil tindakan tangani 'Mini Dhaka' - Dr Zaliha

Dr Zaliha ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Dr Zaliha ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang dengan melaksanakan pemantauan dan rondaan secara berkala ke atas aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh warga asing terutama dalam bidang perniagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, agensi itu juga mengambil tindakan mengkompaun dan menyita peralatan atau barang-barang perniagaan yang tidak ada kebenaran atau dilesenkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah peruntukan undang-undang.

"Dalam kes bagi kawasan Jalan Tun Tan Siew Sin (yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Silang) atau juga digelar 'Mini Dhaka', berdasarkan statistik tindakan bagi bulan Januari hingga Februari 2024, sebanyak 34 tindakan sitaan telah dilaksanakan ke atas barangan dagangan warga asing yang berniaga di sekitar kawasan tersebut.

"DBKL dengan kerjasama agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) telah melaksanakan Operasi Tindakan Bersepadu Roboh Struktur Sekatan Dalaman di Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang), Kuala Lumpur pada 5 Mac 2024," katanya di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang bertanyakan apakah tindakan jangka masa panjang DBKL dalam menangani masalah sosial seperti 'Mini Dhaka' yang sering muncul selepas operasi penangkapan warga asing tanpa izin dilakukan.

Tambahnya, menerusi operasi tersebut, di bawah peruntukan Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, sebanyak 108 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan di empat buah premis yang dijadikan pecahan lot dan kemudiannya digunakan sebagai bilik sewa atau rumah pekerja dalam kalangan warga asing telah dirobohkan.

"Di samping itu, DBKL juga telah menugaskan anggota penguatkuasa bagi membuat pemantauan ke atas aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di lokasi-lokasi hotspot melalui kamera litar tertutup (CCTV).

"Antara lokasi hotspot tumpuan warga asing yang dikenal pasti adalah sekitar kawasan Chow Kit, Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Pusat Bandar Utara dan juga di pusat beli belah Kenanga Wholesale City," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru tegasnya, apa yang berlaku di 'Mini Dhaka' sebenarnya adalah simptom kepada suatu masalah yang memerlukan penyelesaian yang holistik.

"Sehubungan dengan itu, bagi tindakan jangka masa panjang, saya telah mengarahkan pengumpulan data daripada operasi-operasi yang telah dijalankan oleh DBKL.

"Ini adalah bagi mengenal pasti apakah punca sebenar yang menyebabkan pelbagai masalah sosial di 'Mini Dhaka'.

"Analisis akan dibuat dan langkah penyelesaian terbaik akan diambil. Kerajaan memberi komitmen untuk memprogramkan beberapa siri tindakan secara berjadual dan operasi bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!