Arab Saudi hadkan hanya sekali tunai umrah semasa Ramadan

Umat Islam dari seluruh dunia akan membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan. - Foto Agensi
Umat Islam dari seluruh dunia akan membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan. - Foto Agensi
A
A
A

JEDDAH - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa jemaah tidak dibenarkan mengerjakan ibadah umrah lebih daripada sekali semasa bulan Ramadan.

Peraturan itu bertujuan sebagai salah satu usaha kerajaan Arab Saudi untuk mengurangkan kesesakan untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan yang menandakan musim puncak umrah.

“Kebenaran untuk menunaikan dua atau lebih ziarah umrah tidak akan dikeluarkan pada bulan mulia (Ramadan) ini. Langkah ini adalah untuk mengurangkan kesesakan.

“Selain itu, ia memberi peluang kepada semua jemaah lain untuk menunaikan umrah dengan mudah dan selesa sepanjang bulan mulia ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Langkah itu akan diperkenalkan melalui portal khusus bagi prosedur ibadah umrah iaitu Nusuk yang akan mengeluarkan notifikasi mesej ralat kepada pengguna yang cuba memohon permit umrah untuk kali kedua.

Di bawah sistem aplikasi Nusuk, jika seorang jemaah ingin mengeluarkan permit umrah untuk kali kedua pada bulan Ramadan, mesej akan muncul menyatakan; 'Pengeluaran permit gagal'.

Dalam pada itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyatakan bahawa terdapat banyak faedah untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

Sambil menekankan keperluan mendapatkan permit yang dikeluarkan daripada permohonan Nusuk, kementerian itu menggariskan kepentingan pematuhan mereka terhadap slot masa yang diperuntukkan untuk menunaikan ibadah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tiada pilihan pada aplikasi Nusuk untuk menukar waktu temu janji umrah, tetapi jemaah haji boleh memadam temu janji mereka melalui aplikasi tersebut sebelum waktu temu janji.

“Jemaah kemudiannya boleh memohon semula permit baharu mengikut waktu yang sesuai,” menurut kenyataan kementerian itu lagi.

Sepanjang bulan Ramadan, berlaku kebanjiran kehadiran umat Islam dari dalam dan luar Arab Saudi ke Masjidil Haram, Makkah untuk menunaikan umrah dan solat.

Bagi menampung lonjakan jemaah, pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan pelbagai langkah untuk memastikan setiap umat Islam memperoleh pengalaman ibadat yang lancar dan selesa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!