Bomba pantau 652 titik panas kebakaran seluruh negara
IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara susulan fasa akhir Monsun Timur Laut.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, Selangor, Johor dan Sarawak merupakan antara negeri tertinggi yang direkodkan berlaku pengulangan insiden melibatkan kebakaran kategori lalang, kebun, hutan dan pelupusan sampah.
"Secara puratanya kita menerima antara 40 hingga 60 kes kebakaran terbuka sehari tetapi sejak minggu lepas kita mula merekodkan kebakaran sekitar 250 kawasan berlaku insiden kebakaran terbuka.
"Di Perak, kebakaran terbuka sering berlaku di Jalan Raya Timur - Barat (Gerik-Jeli), Batu 37/38 Alor Pongsu, Bagan Serai; Jalan Kampung Air Ganda dan Bukit Air Tarong, Jalan Ganda Temengor di Gerik serta Jalan Samudera, Seri Manjung," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.
Menurut Nor Hisham, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang pembakaran terbuka.
"Fokus kita melibatkan kebakaran hutan yang mana ia begitu sukar untuk kita tangani. Jika berlaku kebakaran kita kerahkan pasukan yang ramai dan menggunakan kaedah konservatif iaitu memukul api hingga padam.
"Jadi saya mohon masyarakat agar jangan memulakan kebakaran dan jika nampak kebakaran walaupun kecil maklumkan segera agar ia tidak merebak.
"Kalau merebak kita akan kerahkan Unit Udara untuk buat bom air namun saya percaya lebih baik jika dapat dielakkan di peringkat awal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!