Politik perlu lebih berhemah
KITA perlu menerima hakikat bahawa di Malaysia masa kini penuh dengan 'berpolitik', sedangkan pilihan raya umum sudah pun berlalu.
Seolah-olah hampir setiap hari ada saja isu berkaitan politik di media dan keadaan ini seperti kita berada dalam waktu berkempen. Sampai bila keadaan ini terus berlaku?
Sepatutnya masa ini ditumpukan kepada pembangunan dan menunaikan segala janji dan manifesto, manakala di pihak pembangkang gunakan masa senggang ini untuk menyusun strategi.
Senario ini ini cukup membebankan pihak polis sehingga Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan kepada semua ahli dan pemimpin politik agar menggunakan kebijaksanaan dan bersabar serta sentiasa berhemah melakukan sebarang aktiviti berpolitik.
Mereka perlu memahami tugas polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Pemimpin politik mestilah lebih memahami dinamik negara ini dengan pelbagai kaum dan agama.
Maka, ahli dan pemimpin politik perlu menggunakan kebijaksanaan dan berhemah dalam berpolitik.Berhemah dan jangan melakukan aktiviti berpolitik yang boleh menyakitkan hati serta mencabar pihak lain. Isu politik yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama juga tidak wajar dicetuskan kerana akan membebankan pihak polis.
Hakikatnya, ahli politik duduk semeja bergurau senda setelah berbalah. Rakyat di luar masih berantakan dan ini membebankan pihak polis. Malah ia dianggap sebagai membuang masa melayan kerenah ahli politik sebegini,
Sebenarnya ini berpunca daripada prinsip kebebasan bersuara. Kebebasan menyatakan pandangan mahupun fikrah tanpa batas atau penapisan mengenai apa yang ingin diperkatakan. Semua masyarakat mempunyai hak kebebasan bersuara tanpa mengira kaum atau pangkat dan sebagainya.
Kebebasan bersuara
Kebebasan bersuara adalah hak untuk seseorang menyampaikan apa yang difikirkan. Apa juga pandangannya mengenai sesuatu dan idea mengenai sesuatu sama ada melalui lisan, tulisan, slogan, lakonan ataupun ekspresi. Hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara sekalipun dan lazimnya hak itu dihadkan.
Malangnya, ramai pendokong kebebasan bersuara ini gagal memahami impak yang berlaku dalam meraikan kelonggaran yang diberikan termasuk dalam kalangan ahli politik. Akhir-akhir ini penghinaan terhadap 3R Diraja (Royal), Kaum (Race) dan Agama (Religion) terus berleluasa.
Kita harus menjunjung tinggi Institusi Diraja dan menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini sebagaimana kita menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.
Sebagai warganegara, kita haruslah menghormati undang-undang yang menjadi paksi dan panduan dalam kehidupan seharian.
Penghinaan berkaitan kaum lain melalui media sosial juga boleh menghakis keyakinan dan kecintaan rakyat kepada negara.
Maka, ahli politik tidak hanya mengutamakan agenda politik semata-mata tetapi tetap mendokong soal perpaduan dan keharmonian kaum, manakala pihak pemerintah menumpukan kepada aspek pembangunan sebagai menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat.
* Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!