TikTok 'Trojan Horse' ciptaan China?
KONTROVERSI TikTok kembali hangat diperkatakan apabila China dengan lantang membidas rang undang-undang diluluskan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu yang mungkin bakal menyaksikan ia bakal diharamkan di negara itu.
Ia merupakan langkah terbaharu setelah aplikasi popular milik syarikat ByteDance berpusat di China itu mencetuskan perdebatan sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, penjawat awam, ahli politik dan kakitangan keselamatan di kebanyakan negara Barat turut dilarang memuat naik TikTok pada peranti yang digunakan untuk tujuan kerja atas alasan 'membahayakan keselamatan negara' kerana didakwa menjadi alat propaganda untuk 'perang maklumat' China.
Apakah kebimbangan terbesar tentang aplikasi itu hingga ia kembali heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini setelah siasatan dilancarkan pada 2019.
Pakar keselamatan siber berulang kali menuduh TikTok mendapatkan sejumlah besar data pengguna malah menggelar ia sebagai 'Trojan Horse' China yang 'menyelinap masuk' dalam masyarakat menerusi video yang melucukan dan catchy hingga menjadi aplikasi paling popular dimuat turun di seluruh dunia pada 2020-21.
Terdapat juga penyelidik mendakwa TikTok mengumpulkan butiran seperti lokasi, jenis peranti dan aplikasi lain yang dimuat naik pengguna.
Laporan oleh Citizen Lab yang membuat perbandingan dengan platform popular lain, TikTok dikatakan mendapatkan jenis data serupa untuk menjejaki tingkah laku pengguna sama seperti media sosial lain.
Selain itu, terdapat dakwaan pemerintah China mungkin menggunakan aplikasi itu untuk mengintip pengguna meskipun ByteDance sudah berulang kali memberi jaminan tentang perkara tersebut.
Aplikasi popular yang dihasilkan syarikat berpusat di AS seperti Facebook, Instagram, Snapchat, YouTube juga dikatakan membuat aktiviti serupa, namun tidak pula dipertikaikan mana-mana pihak.
Kongres AS bersama segelintir pemerintah dengan yakin menyatakan mereka percaya data dikumpulkan platform Barat yang tidak akan digunakan untuk tujuan jahat yang berpotensi membahayakan keselamatan negara.
Hanya kerana ia dihasilkan China, negara Barat terus bersikap skeptikal dengan aplikasi tersebut yang jauh lebih popular dalam kalangan pengguna Gen Z dan milenium termasuk menjadi platform penting kepada calon bertanding pilihan raya.
Kebimbangan ketiga ialah TikTok mungkin digunakan sebagai alat pembasuhan otak (brain washing) setelah Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray pada November 2022 mendakwa Beijing boleh mengawal algoritma pengesyoran untuk operasi pengaruh.
Ia sekali lagi dikaitkan dengan Trojan Horse yang mana TikTok sebagai umpan seperti kuda Troy dalam dongeng Yunani yang kemudiannya memanipulasi fikiran pengguna untuk mendapatkan akses kepada sistem atau maklumat tertentu.
Perintah eksekutif dikeluarkan bekas Presiden AS, Donald Trump pada 2020 mendakwa pengumpulan data dibuat TikTok membolehkan Beijing menjejak lokasi kakitangan persekutuan dan kontraktor serta membina dokumen maklumat peribadi untuk tujuan peras ugut dan menjalankan pengintipan korporat.
Setahun selepas itu, gergasi teknologi, Microsoft dan Oracle terlibat perbincangan serius untuk membeli ByteDance, namun pihak atasan TikTok di China enggan membenarkan algoritma atau teknologi kecerdasan buatan (AI) milik mereka jatuh ke tangan AS.
Setakat ini, bukti yang dikemukakan hanya berdasarkan risiko teori, namun kebimbangan Barat semakin meningkat berpunca daripada undang-undang tidak jelas yang diluluskan China pada 2017.
Perkara 7 Undang-undang Risikan Negara tersebut menetapkan kesemua organisasi dan rakyat harus 'menyokong, membantu dan bekerjasama' dengan usaha perisikan negara.
Kenyataan mencurigakan seperti itu bukan hanya memberi kesan kepada TikTok malah syarikat lain yang berpusat di Beijing. Aplikasi itu yang mempunyai lebih satu bilion pengguna telah diharamkan di India pada 2020 bersama puluhan platform lain milik China.
Larangan yang mungkin dilaksanakan Washington dikhuatiri bakal memberi impak besar kepada platform tersebut seperti yang berlaku kepada gergasi telekomunikasi, Huawei yang juga dikaitkan dengan aktiviti pengintipan sebelum ini.
Tetapi, yang menjadi persoalan utama, adakah TikTok benar-benar bukan hanya aplikasi biasa dan mengapa Barat seperti takut bayang-bayang sendiri?
* Marlissa Mohammad Kamal ialah Wartawan Global Sinar Harian
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!