Tabung Kasih@Hawana terus santuni pengamal media
PUTRAJAYA - Kebajikan media terus diberi perhatian apabila sebanyak 10 pengamal media yang berdepan masalah kesihatan menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada Rabu.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana di sini, menjadikan jumlah penerima bantuan tabung berkenaan ialah 47 orang.
Seorang penerima, Jamhariah Jaafar, 61, yang merupakan bekas wartawan Berita Harian menzahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan kerajaan kerana membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan.
"Apabila tuhan bagi sakit, kita reda sajalah. Terima kasih kepada HAWANA (Tabung Kasih@HAWANA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta pejabat Perdana Menteri jemput berbuka dan jumpa kawan lama,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Muhammad Husni Othman turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang sudi memberikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada ibunya yang merupakan bekas peneraju RTM.
Katanya, sumbangan kepada ibunya Mariamah Tijo itu ialah satu penghargaan besar atas khidmatnya sebagai penyampai radio di RTM selama ini.
"Sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dan ia menghargai jasa ibu dalam industri media... saya ucap ribuan terima kasih,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi (ketika itu Kementerian Komunikasi dan Digital) dan dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj antara yang hadir pada majlis berbuka puasa itu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!