YIDE ukir senyuman anak yatim, asnaf
BANTING - Program Rewang Iftar Bersama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) meraikan penghuni Rumah Amal Raudhatul Jannah dengan berbuka puasa bersama di samping memeriahkan lagi Ramadan anak-anak berkenaan.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, rumah amal berkenaan merupakan satu daripada 32 rumah kebajikan yang berdaftar dan diiktiraf bersama yayasan.
“Kita menyantuni seramai 20 orang anak yatim dan asnaf yang mana 11 merupakan kanak-kanak perempuan dan selebihnya lelaki.
“Menerusi majlis ini juga, kita turut memberikan sejumlah wang (duit raya) sebanyak RM50 kepada mereka dan RM2,000 kepada Rumah Amal Raudhatul Jannah.
“YIDE berharap majlis ini secara tidak langsung dapat menggembirakan hati anak-anak dan memberi semangat kepada mereka untuk menghayati bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Rumah Amal Raudhatul Jannah pada Selasa.
Dalam pada itu, Nur Mohd Razali memberitahu, antara tujuan lain pihak YIDE bersama Sinar Harian mengadakan Program Rewang Iftar adalah untuk membantu rumah amal berkenaan bagi mendapatkan lebih ramai penyumbang.
Katanya, Rumah Amal Raudhatul Jannah mempunyai kriteria yang ditetapkan oleh pihak yayasan untuk didaftarkan sebagai salah satu rumah kebajikan diiktiraf.
“Rumah amal ini patuh segala syarat dari segi reka bina yang diluluskan oleh bomba dan pengurusan kewangan.
“Rumah Amal Raudhatul Jannah menunjukkan prestasi baik khususnya proses audit kewangan. Oleh yang demikian, saya yakin kesemua rumah amal yang berdaftar di bawah YIDE mempunyai proses audit kewangan yang telus,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Rumah Amal Raudhatul Jannah, Zawalajam Mashod bersyukur kerana YIDE sudi mengadakan Program Rewang Iftar di rumah kebajikan berkenaan.
Menurutnya, ia merupakan satu peluang yang baik khususnya pada bulan Ramadan untuk mereka mendapatkan lebih ramai penyumbang.
Beliau berkata, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Kampung Olak Lempik turut mempunyai rumah kebajikan yang beroperasi untuk anak asnaf dan yatim piatu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada YIDE kerana sentiasa memberi sumbangan dan selalu ada bersama Rumah Amal Raudhatul Jannah.
“Kami berharap dengan adanya Program Rewang Iftar Bersama YIDE, ia secara tidak langsung membantu memperkenalkan rumah amal ini.
“Saya harap agar lebih ramai orang dapat menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan yang saya urus ini supaya kesemua (20 orang penghuni anak yatim dan asnaf) menerima pendidikan dan penjagaan sempurna,” jelasnya.
REAKSI
Terima kasih YIDE kerana sudi datang ke Rumah Amal Raudhatul Jannah untuk berbuka bersama dan beri peluang kepada kami untuk cuba menyediakan hidangan piza.”- Nurul Iman Nashieha Mat Nasir, 15
Tahun ini merupakan kali yang pertama saya merasai pengalaman berbuka bersama rakan-rakan penghuni. Ia sungguh menyeronokkan kerana saya mempelajari erti kebersamaan dan berkongsi.”- Putri Nurul Aneesha Abdul Hakim, 15
Saya berterima kasih kepada rumah amal ini dan YIDE kerana sering menghulurkan bantuan. Pemberian ini membuatkan saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang berjaya untuk membantu lebih ramai anak-anak yatim serta golongan asnaf.” - Muhammad Hisham Hasmadi Hassan, 15
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!