HSNZ sasar kutipan 1,500 beg darah sepanjang Ramadan

Antara jemaah yang mengambil bahagian dalam program menderma darah selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Abidin, Kuala Terengganu pada Selasa.
Antara jemaah yang mengambil bahagian dalam program menderma darah selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Abidin, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyasarkan kutipan antara 1,000 hingga 1,500 beg darah sepanjang Ramadan ini.

Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Roslina Remli berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya mengumpul sebanyak 314 beg darah sejak 1 Ramadan lepas.

“Kita telah melaksanakan program menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

“Antara lokasi yang terlibat dengan program menderma darah ini ialah Masjid Gong Tok Nasek di sini, Masjid Sultan Ismail (Chendering), Masjid Tengku Tengah Zaharah (Kuala Ibai) dan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak.

“Kami berharap lebih ramai individu terutama golongan belia dan pelajar akan tampil untuk menderma darah di masjid-masjid terpilih yang telah dirancang sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Abidin di sini pada Selasa.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di masjid tersebut mendapati seramai 42 orang penderma darah telah hadir pada program berkenaan.

Program menderma darah itu bermula selepas solat sunat tarawih dan pendaftaran penderma ditutup pada jam 11.30 malam.

Seorang guru, Norhuda Ismail, 55, berkata, kesibukan tugas tidak menghalangnya daripada menderma darah kerana ia merupakan usaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Artikel Berkaitan:

“Ini merupakan pengalaman kali kedua menderma darah pada Ramadan. Alhamdulillah, saya terus mendaftar dan bersyukur dapat menyumbang satu beg darah kepada pesakit yang memerlukan.

“Usaha Unit Transfusi Darah HSNZ ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai menderma darah di masjid pada sebelah malam memandangkan umat Islam berpuasa pada waktu siang,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!