MFL tegas, mula laksana peraturan FFP musim ini
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak lagi berlembut dengan mana-mana pasukan termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan membenarkan mereka kekal bersaing dalam Liga Super sekalipun mempunyai masalah kewangan.
Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL mengambil serius masalah tunggakan gaji kelab sehingga badan pentadbir Liga malaysia (Liga-M) itu telah menyingkirkan beberapa pasukan disebabkan perkara berkenaan.
"Banyak pasukan sudah keluar (tak layak beraksi), Sarawak (Sarawak United FC) dan Kelantan FC sudah keluar untuk pastikan liga ini kompetitif dan dihormati.
"Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ada mengatakan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sedang memerhati liga kita tentang masalah gaji yang sedang berlaku.
"MFL akan ambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan ia (masalah gaji) tidak berlaku lebih teruk lagi. MFL juga bantu pasukan untuk ia tidak berlaku atau dapat diatasi segera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MFL Bersama Media di Petaling Jaya, semalam.
Menerusi kenyataan MFL semalam, KL City FC dan KDA FC diberi ruang untuk menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu melakukan demikian, selepas mereka gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi 2023 pada tarikh pertama 15 Mac lepas.
Tindakan lanjut akan diambil jika mereka gagal menyelesaikannya pada tarikh akhir kedua 30 Mac ini iaitu hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024-2025 dan denda RM50,000 berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 Article 2.4 (c) Licensing Sanctions.
Status lesen kelab berkenaan juga akan dinilai jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji dan tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga-M seterusnya.
Ab Ghani berkata, bagi mengekang masalah kewangan dihadapi pasukan daripada terus berlaku, MFL akan melaksanakan peraturan Financial Fair Play (FFP) bermula musim ini.
Peraturan FFP adalah peraturan untuk menghalang kelab bola sepak profesional berbelanja lebih daripada mereka peroleh supaya tidak menghadapi masalah kewangan yang mungkin mengancam kelangsungan pasukan dalam jangka panjang.
"Kelestarian dalam liga itu penting berbanding cuba untuk bersaing dengan pasukan lebih hebat (dengan berbelanja lebih daripada kemampuan). Kita akan melancarkan FFP corak kita pada musim ini.
"Dulu ada ECP (Economic Control Programme (ECP), yang dibuat bulat-bulat mengikut model dari luar negara, tak sesuai, maka FFP kali ini seperti dicadangkan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, MFL akan melaksanakannya tetapi mengikut corak kemampuan liga kita,” kata Ab Ghani.
Saingan Liga Super bagi musim 2024-2025 yang bermula Mei ini, menyaksikan pengurangan satu pasukan berbanding 14 pada musim lepas setelah pasukan tercorot Kelantan FC gagal memenuhi syarat untuk bertanding susulan isu kewangan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!