800 peserta meriahkan Iftar Ala Madinah di Mydin Seremban 2
SEREMBAN - Program Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin yang diadakan pada Rabu di lokasi kedua iaitu Mydin Seremban 2 di sini terus mendapat sambutan menggalakkan apabila mendapat penyertaan daripada kira-kira 800 pengunjung.
Bermula jam 5.30 petang, orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan tempat.
Sementara menanti waktu berbuka, mereka disajikan dengan persembahan dan tazkirah daripada penyanyi Mawi.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, kolaborasi bersama Sinar Harian untuk menjayakan program itu adalah bagi menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat khususnya pelanggan Mydin.
"Program Jelajah Iftar Ala Madinah ini memberi peluang untuk orang ramai berkumpul dan bersosial antara satu sama lain.
"Pihak kami menerima sambutan yang cukup memberangsangkan pada majlis yang berlangsung di USJ pada Jumaat lepas, begitu juga di Seremban 2 ini.
"Terima kasih kepada rakan-rakan penaja program ini," katanya.
Tambahnya, penganjuran program seumpama itu juga adalah komitmen Mydin menghargai pelanggan di samping berkongsi rezeki kepada semua golongan.
Sementara itu, Yeo's yang merupakan penaja utama program berkenaan telah menyumbang sebanyak 15,000 kotak minuman dan Yeo's kari ayam.
Pengarah Pemasaran Yeo's Malaysia, Renda Low berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mydin bagi menganjurkan jelajah terbabit dalam usaha mengeratkan silaturahim bersama masyarakat.
"Yeo's merupakan jenama yang dekat dengan rakyat Malaysia dan menjadi pilihan seisi keluarga setiap hari termasuk pada bulan Ramadan.
"Bersesuaian dengan kempen kami tahun ini iaitu 'Segarkan Ramadan, Raikan Kemenangan', kami berharap Yeo's dapat memberi kesegaran sepanjang masa di bulan mulia ini," katanya.
Malah ujarnya, produk Yeo's juga sangat serba boleh yang bukan saja untuk diminum, tetapi juga boleh dijadikan manisan dan kuih-muih.
Penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani yang merupakan selebriti jemputan turut menyambut baik usaha penganjuran iftar berkenaan yang disifatkan unik dan menarik.
"Bila kita dengar tajuk pun Iftar Ala Madinah, kita dah terbayang mungkin macam inilah orang berbuka puasa di Madinah.
"Biasanya majlis buka puasa anjuran syarikat-syarikat swasta atau pihak tertentu ini dibuat di hotel tapi ini dibuat secara santai dengan duduk bersila beramai-ramai," katanya.
Apa yang baiknya kata Mawi, program itu diadakan secara percuma sekali gus dapat membantu orang ramai terutama yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa.
Dalam pada itu, peserta program yang juga warga emas, Rosliah Samsudin, 72, meluahkan perasaan teruja apabila dapat berbuka puasa beramai-ramai selain dapat merapatkan ukhuwah.
"Yang datang ini mungkin daripada pelbagai latar belakang, tetapi dapat duduk bersama untuk berbuka puasa.
"Kami bukan saja dapat berbuka puasa percuma tapi turut diberi cenderahati untuk dibawa pulang," katanya.
Siti Nur Adzleen Adzhar, 38, pula berharap program itu diteruskan lagi pada tahun berikutnya kerana ramai yang boleh merasai suasana berbuka ala Madinah.
Beliau memberitahu pernah menyertai program sedemikian di Karangkraf di Shah Alam sebelum ini dan sebaik mengetahui Iftar Ala Madinah diadakan di Seremban, beliau tidak mahu melepaskan peluang.
Jelajah Iftar Ala Madinah akan turut berlangsung mengikut tarikh ditetapkan di lima lagi cawangan lain iaitu Mydin MiTC (Melaka), Mydin Meru Raya (Perak), Mydin Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Mydin Gong Badak (Terengganu) dan Mydin Tunjong (Kelantan).
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!