Ikan lomek berlado laris
TEMERLOH - 'Ikan lomek berlado' atau dikenali ikan cumi di kalangan orang tempatan antara menu masakan Minang yang laris terjual di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini.
Pengusaha Masakan Minang Kak Wati, Elly Fitriah Madarius, 25, berkata, menu itu menjadi kegemaran pelanggan-pelanggannya di gerai tersebut.
Menurutnya, kerangupan ikan serta isinya yang manis dan lembut menyebabkan ia menjadi pilihan penggemarnya ketika berbuka puasa.
"Kita jual menu ini RM5 bagi seorang makan dan setakat ini pelanggan berpuas hati dengan menu yang ditawarkan.
"Stok ikan ini diperoleh terus dari Riau, Indonesia," katanya lagi.
Ujarnya, selain menu ikan lomek, lebih 20 menu masakan lain turut disediakan di gerai terbabit.
"Antaranya ikan patin masak asam pedas, keli berlado, gulai nangka, gulai rebung dan dendeng berlado," tambahnya.
Ujarnya, semua menu terbabit disediakan oleh ibunya, Wati Sidek, 55, yang juga berketurunan Minang.
Sudah berniaga di bazar itu sejak tujuh tahun lalu, Elly bersyukur kerana menu yang disediakan masih mendapat perhatian pelanggan setiap tahun.
"Memang diakui tahun ini sedikit mencabar, tahun-tahun sebelumnya memang semua menu yang disediakan habis setiap hari.
"Biarpun terdapat sedikit kenaikan harga kali ini, kita berusaha mengekalkan kualiti yang ada supaya terus kekal bertahan," jelasnya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!