MATTA Fair 2024 ketengahkan amalan mampan

MATTA Fair 2024 ketengahkan amalan mampan dalam industri pelancongan.
MATTA Fair 2024 ketengahkan amalan mampan dalam industri pelancongan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 akan memperkenalkan reruai Pelancongan Lestari bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai inovatif bagi memupuk amalan mampan dalam industri pelancongan.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, inti pati terhadap usaha tersebut adalah melalui pelancaran Inisiatif Bulatan Hijau iaitu kerjasama melibatkan pemegang kepentingan utama daripada pelbagai sektor.

Menurutnya, kerjasama itu melibatkan Malaysia Aviation Group (MAG), Kumpulan Perbankan RHB (RHB), Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta ahli MATTA.

“Inisiatif ini untuk memperkasa pihak berkepentingan industri dan orang ramai serta menyumbang kepada penggubalan dasar selain menyokong industri melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sebagai tambahan kepada insiatif ini, MATTA berbangga untuk bekerjasama dengan artis hidupan liar Britain yang terkenal, Rachel Gray bersama AmLeisure Group, pelancongan Perak dan Selangor.

“Dengan kerjasama rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan, kami menyasarkan untuk memacu perubahan positif dalam sektor pelancongan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

MATTA Fair menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung bermula jam 10 pagi hingga 9 malam dengan menyediakan perkhidmatan ulang alik ke Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

Pameran selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad itu turut mengutamakan keselesaan pengunjung dan pempamer beragama Islam dengan menawarkan kemudahan premis makanan dan minuman (F&B) khusus untuk berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Nigel, di Perak, MATTA bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak di Taman Negeri Royal Belum iaitu kawasan terlindung kedua terbesar di Semenanjung.

Beliau berkata, selain itu, pelancongan Selangor turut menyasarkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang 2027 atas usahanya dalam pemuliharaan dan promosi geopark.

“Dengan 31 geopark yang disenaraikan, kami berdedikasi untuk memelihara warisan semula jadi dan mempromosikan pelancongan lestari.

“Tidak lupa juga Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang terkenal dengan pembahagian agropelancongan serta sawah padi yang menjadi tarikan utama di MATTA Fair kali ini.

“Pengunjung ke reruai ini boleh mengetahui tentang pelbagai projek dan inisiatif yang diterajui MATTA serta rakan kongsinya selain melibatkan diri dalam aktiviti dan perbincangan interaktif,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!