Kes bunuh, bakar teman wanita hamil dipindah ke Mahkamah Tinggi

Tertuduh (kiri) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
Tertuduh (kiri) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini membuat keputusan memindahkan kes seorang lelaki didakwa membunuh kekasihnya yang hamil empat bulan pada Mei tahun lalu ke Mahkamah Tinggi Klang.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas memperoleh izin pihak pendakwaan bagi sebutan semula kes berkenaan.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk kes tersebut disebut semula di Mahkamah Tinggi Klang.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal, manakala tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, diwakili peguam, Muhammad Nor Tamrin.

Terdahulu, Muhammad Fakrul berbaju T putih sebelum itu tiba dengan trak polis di mahkamah kira-kira jam 10.20 pagi Khamis.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira jam 8.30 malam 22 Mei sehingga jam 8 pagi 23 Mei tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki didakwa bertindak kejam dengan membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dibunuh kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi, 23 Mei tahun lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!