ADUN Kuala Kubu Baharu meninggal dunia
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis.
Amirudin berkata, Kee Hiong, telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.
Menurut beliau, pemergian Ker Hiong adalah kehilangan besar kepada pelbagai pihak dan pasti dirasai terutamanya oleh penduduk Kuala Kubu Baharu yang sudah lama diwakili dan dibantu oleh mendiang sejak sebelum menjadi wakil rakyat.
"Sebentar tadi, saya menerima berita dukacita pemergian ADUN Kuala Kubu Baharu dan saya mewakili Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang serta seluruh sahabat dan anggota di dalam DAP yang kehilangan tokoh berpengalaman.
"Semoga mereka diberikan kekuatan mengharungi detik yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Pemimpin politik rakam takziah kematian Kee Hiong
Berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong dikongsi pelbagai pihak melalui media sosial.
Antara yang dilihat mengucapkan takziah termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ka Siong berkata, beliau mengenali mendiang sejak menjadi pemimpin mahasiswa dan menyertai Kem Kepimpinan Mahasiswa Nasional yang diadakan di Pulau Pinang pada tahun 1988.
"Walaupun Kee Hiong menyertai DAP dan saya pula menganggotai MCA, tetapi itu bukan penghalang kepada persahabatan kami.
"Sebagai sahabat, sudah tentu saya juga terasa dengan pemergian mendiang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Ka Siong, sumbangan Kee Hiong kepada masyarakat khususnya di Selangor pasti dikenang.
"Tentunya khidmat beliau selaku ADUN selama beberapa penggal mencipta banyak memori khususnya buat masyarakat setempat," tambah beliau.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memberitahu, beliau menerima khabar dukacita, pemergian Kee Hiong yang meninggal dunia pagi khamis.
Beliau memberitahu, meskipun tidak kerap berjumpa dengan Kee Hiong, namun mereka sering berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp.
"Mendiang banyak beri pandangan tentang isu-isu semasa dan kemas kini tentang programnya di KKB (Kuala Kubu Baharu) serta memberi nasihat mengenai parti lebih-lebih lagi di awal penyertaan saya dalam parti (DAP).
"Kali terakhir saya dapat berjumpa dengan mendiang apabila saya membantunya kempen ketika PRN," tambahnya.
Syahredzan berkata, Lee Hiong merupakan ADUN yang komited dan seorang rakan seperjuangan yang dihargai.
"Kehilangannya sudah tentu akan dirasai. Terima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan buat negeri Selangor ini," tambahnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis.
Amirudin berkata, Kee Hiong telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!