Tiga direman buat tuntutan palsu lebih RM800,000
IPOH - Seorang penjawat awam antara tiga individu direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu melibatkan projek pembekalan ternakan bernilai lebih RM800,000.
Perintah reman sehingga Ahad depan terhadap pemilik syarikat dan penjawat awam masing-masing berusia 38 tahun dan usahawan berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tempoh reman itu diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 8 hingga 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak pada Rabu.
Difahamkan, mereka ditahan selepas dipercayai terlibat memalsukan dokumen berhubung invois tuntutan pembayaran berjumlah RM836,798.
Pemalsuan itu membabitkan tuntutan bagi perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri bersertifikasi diimport untuk projek subsektor ternakan daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!