Polis kesan pemilik wang tunai lebih setengah juta dalam bagasi
SUBANG JAYA - Seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya tidak menyangka bagasi yang ditemukan di tempat meletak kenderaan di premis tersebut berisi wang tunai melebihi setengah juta, pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya daripada pengawal keselamatan warga tempatan terbabit pada jam 8 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
“Kita percaya wang tersebut adalah tulen. Bagaimanapun kita akan sahkan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Justeru, kita minta mana-mana individu atau pemiliknya untuk tampil dengan membawa bukti berkaitan ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-79662222,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Subang Jaya pada Khamis.
Beliau berkata, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah tersebut untuk kenal pasti individu berkaitan.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut kertas enkuiri polis.
“Sekiranya ia (wang tunai) tidak dituntut, wang ini kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kes berasingan, Hussein berkata, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang berperanan sebagai penjaga stor dan transporter ditahan dengan rampasan arak seludup di sebuah rumah di Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Tambah beliau, serbuan pada jam 4.10 petang oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bertindak merampas 13,087 botol dan tin arak disyaki seludup untuk pasaran tempatan.
"Kes di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki arak lari cukai," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!