JKDM tumpas penyeludupan rokok, minuman keras lebih RM5.4 juta

Mohd Nasir (empat dari kiri) menunjukkan minuman keras dan rokok yang berjaya dirampas kastam di sekitar negeri ini.
Mohd Nasir (empat dari kiri) menunjukkan minuman keras dan rokok yang berjaya dirampas kastam di sekitar negeri ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras dengan nilai melebihi RM5.4 juta termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, jumlah itu melibatkan empat kes yang berjaya dikesan oleh pihaknya di sekitar negeri ini.

"Dalam kes pertama 6 Mac lalu, berdasarkan maklumat risikan dan hasil penilaian risiko pada imej imbasan mesin pengimbas telah menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

"Hasil pemeriksaan awal telah menemui sejumlah 22,049.28 liter minuman keras dengan anggaran harga RM167,133.54 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM850,837.62," dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan JKDM Sabah di sini pada Khamis.

Katanya lagi, kes kedua melibatkan serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ramayah, Jalan Penampang-Papar Lama, Penampang pada 11 Mac lalu di mana terdapat minuman keras dan rokok pelbagai jenama disyaki tidak berkastam disimpan didalamnya.

"Jumlah minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 42,568.48 liter dengan anggaran nilai RM246,344.27 dan cukai serta duti terlibat sebanyak RM724,198.60.

"Jumlah rokok yang dirampas pula adalah sebanyak 891,600 batang dengan anggaran nilai berjumlah RM103,272.00 dan cukai serta duti yang terlibat sebanyak RM975,013.44 dan sebuah lori serta van turut disita," katanya.

Mohd Nasir berkata, susulan daripada itu satu lagi pemeriksaan telah dijalankan di sebuah taman perumahan di Penampang.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan terhadap beberapa lori yang diletakkan di tepi jalan telah menemukan tiga lori yang membawa muatan minuman keras sebanyak 1,626.76 liter bernilai RM16,980.30 dengan duti dan cukai terlibat sebanyak RM34,251.69.

"Selain itu turut dirampas rokok pelbagai jenis dan jenama sebanyak 38,400 batang yang bernilai RM3,840 dengan nilai duti serta cukai terlibat sebanyak RM36,864," katanya.

Sementara itu, dalam kes ketiga serbuan dilakukan pada 15 Mac lalu dan hasil penilaian daripada imej mesin pengimbas membawa kepada penahanan empat kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini.

"Hasil pemeriksaan awal pasukan serbuan telah menemui 89,088 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM445,440 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM1,381,220.36.

"Bagi kes keempat pula serbuan dibuat pada 18 Mac lalu di mana dua lagi kontena disyaki berisi minuman keras turut ditahan dan hasil pemeriksaan menemui 22,049.28 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM85,760 dan anggaran duti serta cukai sebanyak RM348,290," katanya.

Mohd Nasir mendedahkan modus operandi penyeludup ialah membuat pemalsuan pada dokumen bagi minuman keras yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.

"Bagaimanapun tiada tangkapan semasa serbuan itu dilakukan dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan untuk mengesan pemilik stor, pemilik kenderaan dan pengimport yang terlibat," katanya.

Sehubungan itu, secara keseluruhannya bagi tempoh bermula 6 hingga 18 Mac lalu Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Kinabalu telah berjaya merampas minuman keras berjumlah 177,381.80 liter dengan anggaran nilai lebih RM961,658.11 manakala anggaran nilai duti dan cukai terlibat adalah kira-kira RM3.3 juta.

"Selain itu turut dirampas pelbagai jenis dan jenama rokok sebanyak 930,000 batang dengan nilai berjumlah RM107,112 dan cukai dan duti terlibat adalah berjumlah RM1,011,877.44.

"Kesemua nilai rampasan di atas berjumlah RM5,419,445.82 (nilai rampasan adalah berjumlah RM1,068,770.11 serta cukai dan duti terlibat adalah berjumlah RM4,350,675.71)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!