Kerajaan jamin beri hak kerakyatan kepada anak dibuang
KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan hak kerakyatan bagi bayi dan kanak-kanak dibuang akan terpelihara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, berdasarkan perundangan negara, prinsip kerakyatan melibatkan anak yang dilahirkan adalah dari perkahwinan sah dan didaftarkan serta ibu atau bapa merupakan warga negara.
Oleh yang demikian ujarnya, kanak-kanak dibuang tergolong dalam dua andaian iaitu tempat lahir yang merujuk kepada tempat dijumpai dan bayi itu dilahirkan oleh ibu bermastautin.
“Bila kita buat andaian begitu, maka bayi tersebut boleh dapat warga negara secara kuat-kuasa undang-undang. Hak anak-anak mesti dijamin (dan) dijaga, hentikan istilah dinafikan hak untuk mendapat warga negara.
"Sekarang kalau tak dapat (warga negara) cara Seksyen 19B (Bahagian III Jadual Kedua) (Perlembagaan), kita proses di bawah 15A, dia tetap dapat warga negara, tiada istilah dinafikan.
"Janji dimohon dan permohonannya lengkap. Hakikatnya adalah kalau tak diluluskan di bawah kuat kuasa undang-undang, ia tetap diproses dan dibuat keputusan di bawah perkara 15A," katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan secara automatik.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan, kerajaan kini dalam proses sesi libat untuk mendapatkan formula terbaik dalam hal membabitkan warga negara.
"Bila sampai masa, kita akan sama-sama mengambil bahagian dalam isu warga negara," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!