Hentikan perbincangan jumud dan lapuk - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak digesa agar menghentikan perbicangan jumud dan lapuk yang berpanjangan.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan harus diberikan terhadap ilmu pengetahuan, transformasi teknologi digital serta transisi tenaga.

"Perbincangan kita mesti soal nilai, akhlak, dan keyakinan agama dengan semangat perpaduan dan kesatuan negara," katanya menerusi ucapan Program Bicara Eksekutif Malaysia Madani Penjawat Awam di sini pada Khamis.

Ujar beliau, sikap menanam kebencian pada orang lain tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

"Apa guna kita bangsa terhebat tetapi mencerca kaum lain kelompok lain.

"Kalau bicara Melayu terhebat dan gagah (adalah) kerana pimpinan bersih, sikap, budaya, disiplin dan integriti membangkitkan Malaysia sebagai sebuah negara, bukannya untuk memijak atau memandang enteng kepada orang lain," katanya.

Tegas beliau, kaum minoriti iaitu Cina, India dan lain-lain harus menerima kenyataan dengan semangat perpaduan bahawa Melayu adalah teras kepada negara ini.

"Saya tekankan hal ini kerana kita tidak habis-habis dengan bicara yang tidak memenangkan, tidak menambah keimanan, akhlak tidak diperbaiki dan ekonomi, jauh lagi.

Artikel Berkaitan:

"Yang menang hanya jeritan," ujar Anwar.

Jelas beliau, setiap rakyat perlu mempunyai keyakinan untuk mengekalkan Malaysia di tahap sekarang atau memartabat negara ke peringkat lebih tinggi untuk keterjaminan generasi masa depan.

"Orang waras mesti jawab kerana ALLAH SWT angkat martabat manusia, jadi tentunya melakukan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, jika mutu negara mahu dipertingkatkan beberapa prasyarat perlu diterima oleh semua.

"Terima kenyataan bahawa Malaysia ini walaupun telah mencapai 60 peratus Melayu Bumiputera, kita masih (terdiri daripada) pelbagai kaum dan agama untuk hidup aman damai sementara Islam dihayati, Bahasa Melayu dimartabatkan, Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu Bumiputera dipertahankan.

"Ia tidak sesekali memberi maksud meremehkan dan merendahkan sesiapa atau menghina sesiapa.

Tidak menang kita dengan sorakan menghina orang lain melainkan dengan integriti kewibawaan dan keterampilan," katanya.

Sementara itu dalam ucapan sama Anwar mengarahkan semua pimpinan kerajaan untuk mengikuti latihan dan kursus bagi menggilap semula semangat serta ilmu masing-masing.

"Jadi saudara, seperti mana madrasah Ramadan ini, saya ingin menganjurkan selain tanggungjawab jaga kampung sendiri itu, kita juga tanpa kecuali, saya sendiri, menteri, KSN (Ketua Setiausaha Negara), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) untuk mengikuti satu bentuk latihan, kursus peringatan bagi menggilap semangat dan ilmu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!