Sewa rumah simpan minuman keras tidak bercukai
KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket penyeludupan yang sanggup menyewa premis untuk dijadikan lokasi simpanan minuman keras tidak bercukai dibongkar menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Terasek, Bangsar Baru, 6 Mac lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua minuman itu dianggarkan bernilai RM635,500.
"Serbuan dijalankan kira-kira jam 1.30 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan selain merampas 15,320 liter pelbagai jenis minuman keras.
"Suspek diberkas dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah di sini pada Khamis.
Dalam sidang akhbar sama, Norlela berkata, sebanyak 415,600 batang rokok putih bernilai RM77,600 dirampas susulan serbuan di sebuah rumah di Jalan Banjaran, Kempas Baru, Johor pada 27 Februari lalu.
Jelasnya, serbuan dijalankan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).
Katanya, Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!