Skim pelaburan palsu tawar untung lumayan dalam tiga jam
KUALA LUMPUR - Tawar keuntungan dalam tempoh tiga jam antara taktik digunakan sindiket penipuan skim pelaburan, selain menggunakan nama Petronas Chemicals Group bagi memperdayakan mangsa menerusi aplikasi Telegram dan Facebook.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan terbabit dikesan menggunakan beberapa pakej bagi mengaburi mata orang ramai.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati skim yang terdapat dalam pakej itu menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dilakukan.
"Antara pakej ditawarkan adalah pakej asas membabitkan deposit RM550 hingga RM2,000 dengan nilai keuntungan RM15,000 hingga RM60,000, pakej silver (deposit RM3,000 hingga RM5,000 dengan pulangan RM90,000 hingga RM150,000).
"Selain itu, pakej lain ditawarkan adalah Pakej Gold dengan deposit RM7,000 hingga RM9,000 kononnya menjamin keuntungan RM210,000 hingga RM270,000 serta pakej VVIP melibatkan deposit RM10,000 dan nilai keuntungan RM300,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, kes terbabit sedang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Semakan dijalankan mendapati terdapat satu laporan polis daripada mangsa skim penipuan berkenaan melibatkan nilai kerugian RM1,500.
"Polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu telah menjadi mangsa kepada skim penipuan ini dan mereka diminta tampil membuat laporan polis dengan segera," katanya.
Menurutnya, penggunaan logo Petronas Chemicals Group dipercayai antara taktik memperdaya mangsa.
"Orang ramai diingatkan berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
"Masyarakat diminta sentiasa mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi sebelum menyertai mana-mana pelaburan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!