Nenek bahayakan nyawa cucu demi selamatkan kucing
CHENGDU - Seorang nenek di wilayah Sichuan, China mencetuskan kemarahan netizen di negara itu apabila sanggup membahayakan nyawa cucu lelakinya semata-mata mahu menyelamatkan seekor kucing.
Dalam kejadian di bandar Nanchong itu, si nenek mengikat tali pada tubuh cucunya yang berusia 7 tahun sebelum menurunkan budak lelaki tersebut dari balkoni tingkat lima sebuah flat bagi menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas tingkap sebuah lagi unit kediaman di tingkat tiga.
Perbuatan tidak bertanggungjawab warga emas itu berjaya dirakam dan ia tular selepas dimuat naik ke laman media sosial.
Dalam rakaman berdurasi 40 saat itu, jelas kedengaran jeritan beberapa jiran meminta wanita tersebut yang dibantu anak lelakinya supaya menghentikan tindakan mereka.
Difahamkan ketika kejadian, ibu-bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah kerana bekerja.
Budak lelaki itu berjaya menyelesaikan 'misinya' tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Seorang netizen berkata, wanita terbabit sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang kerana membahayakan nyawa orang lain.
"Mengapa mereka memilih cara paling berbahaya untuk menyelamatkan nyawa seekor kucing," kata seorang pengguna platform Weibo.
Seorang lagi netizen berkata; "Mungkin wanita itu tidak berfikir panjang kerana mahu mengumpul pahala." - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!