MCMC, NGO bekerjasama perangi jenayah seksual kanak-kanak
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memerangi jenayah seksual berkaitan kanak-kanak di negara ini.
Kerjasama berkenaan telah dibincangkan menerusi satu pertemuan susulan kunjungan Yayasan Chow Kit (YCK) serta beberapa NGO ke atas MCMC yang diketuai oleh Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez semalam.
MCMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kunjungan itu bagi membincangkan isu amang seksual dan pengantunan seksual dalam talian serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Antara intipati perbincangan melibatkan statistik kes serta pendekatan yang boleh diambil secara kolaboratif antara suruhanjaya itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan NGO berkenaan.
"Ini sebagai usaha memerangi gejala pengantunan seksual dalam talian, jenayah seksual dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia," menurut kenyataan itu.
Pertemuan dan perbincangan di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohammad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC, Datuk Wei Chuan Beng dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.
Turut hadir wakil PDRM diketuai Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak, Superintenden Hirdawati Isa serta Pengasas YCK, Datuk Hartini Zainudin.
Antara NGO yang hadir terdiri daripada ECPAT Malaysia, Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, UNICEF Malaysia, Protect and Save the Children (PSC), Monsters Among Us (MAU), Operation Underground Railroad (OUR), Global Shephers Berhad, Fakulti Psikologi dan Sains Sosial Universiti, Cyberjaya, National Early Childhood Intervention Council (NECIC), Make It Right Movement serta Johore Women's League (JEWEL). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!