Surah al-Jumu’ah jadi pilihan World #QuranHour2024
SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat surah al-Jumu’ah sebagai pilihan dalam program World #QuranHour2024 di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 4 April depan.
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, surah berkenaan menjadi pilihan untuk dihayati semua jemaah kali ini sebagai usaha mengubah kerangka fikiran dan karakter muslim dalam aspek sosial.
Menurutnya, surah tersebut juga dipilih untuk memastikan ummah kembali kepada formula yang dibekalkan ALLAH SWT untuk mencapai kejayaan pada akhir zaman.
“Reset harus berlaku di setiap lapisan masyarakat melibatkan ummah, umara (pemimpin) dan ulama (3U) agar berlaku transformasi sosial dan penambahbaikan yang berterusan.
“Kita mengharapkan supaya golongan 3U ini akan bergabung untuk membaca, memahami dan mengamalkan surah ini untuk membina negara dan dunia yang lebih baik.
“Asas untuk memahami transformasi sosial ini adalah dengan kembali semula kepada empat proses iaitu tilawah (membaca ayat-ayat ALLAH), tazkiyah (penyucian jiwa), ta’alim (menuntut dan mengajar ilmu al-Quran, patuhi undang-undang dan garis panduan hidup) serta hikmah (mengajar hadis dan mempraktikkan dalam kehidupan dengan kebijaksanaan),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Program World #QuranHour2024 yang akan bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 1 petang itu dijangka mencecah lebih 4,000 orang.
Ia akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, Astro Oasis dan laman Facebook Sinar Harian serta WUIF.
Mengulas lanjut, Fazrul berkata, cabaran utama yang perlu dihadapi pada masa kini adalah apabila umat Islam tidak memahami al-Quran sebagaimana bani Israel yang tidak memahami kitab Taurat.
“Pada zaman itu, mereka tidak memahami kitab Taurat sehinggakan mereka bergaduh sesama sendiri dan pemimpin juga tekan menekan antara satu sama lain.
“Mereka adalah umat pilihan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Jadi, harap ankita adalah umat akan melakukannya serta mentransformasikan sosial menjadi baik dan asasnya kembali kepada al-Quran yang mana sekurang-kurangnya dipelajari setiap hari Jumaat melalui khutbah yang disampaikan,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!